SOM iktiraf peranan Malaysia jayakan matlamat APEC | DagangNews Skip to main content

SOM iktiraf peranan Malaysia jayakan matlamat APEC

Hairil Yahri Yaacob, pengerusi SOM APEC 2020.

 

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pegawai-pegawai kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) memuji pencapaian-pencapaian yang disepakati APEC termasuk peranan utama Malaysia dari segi kepimpinan dan memastikan kejayaan APEC 2020, walaupun berdepan cabaran besar pandemik COVID-19.

 

Mereka menyatakan, ketika APEC 2020 kini di pusingan akhir, Malaysia telah mempamerkan kejayaan yang bagus dalam menguruskan impak COVID-19 ke atas mesyuarat-mesyuarat APEC dan diharap berterusan sehingga kemuncak minggu hadapan iaitu Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC (AELM).

 

Pernyataan tersebut dibuat semasa mesyuarat pegawai-pegawai kanan APEC yang baharu menamatkan siri mesyuarat dan program tahun ini, yang dilaksanakan secara maya semalam, dipengerusi oleh Pengerusi SOM APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, menandakan pengakhiran mesyuarat peringkat pegawai APEC bagi tahun ini.

 

Para pegawai kanan APEC juga mengiktiraf keupayaan Malaysia di dalam mengemudi usaha penyampaian beberapa kenyataan bersama di peringkat Menteri, termasuk Perdagangan, Kesihatan, Kewangan, Wanita dan Keselamatan Makanan.

 

“Mereka juga menyatakan komitmen untuk terus bekerja bersama Malaysia, dari segi menyempurnakan baki tiga lagi dokumen bertahap tinggi tahun ini iaitu Wawasan Pasca 2020, Kenyataan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) dan Perisytiharaan Pemimpin,’’ kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku sekretariat APEC 2020 bagi Malaysia yang juga tuan rumah APEC 2020.

 

APEC
Mesyuarat APEC 2020 diadakan secara maya sepenuhnya dalam 8 zon waktu berbeza disebabkan COVID-19.

 

Tahun ini,  APEC 2020 meneruskan kerja mereka di bawah tema Mengoptimumkan Potensi Manusia ke arah Masa Hadapan Perkongsian Kemakmuran Lestari, yang dapat dicapai menerusi tiga bidang keutamaan berikut :

i. Menambah baik Naratif Perdagangan dan Pelaburan;

ii. Penyertaan Ekonomi Inklusif menerusi Ekonomi Digital dan Teknologi, dan

iii. Memacu Kelestarian Inovasi.

 

Para pegawai kanan APEC juga memaklumi laporan-laporan utama berkaitan bidang keutamaan tersebut, termasuk:

i. Laporan Tahunan Oleh Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan (CTI) kepada Menteri-menteri;

ii. Laporan Pegawai Kanan mengenai Kerjasama Ekonomi dan Teknikal; dan

iii. Program Kerja Peta Halatuju Internet dan Ekonomi Digital APEC (AIDER).

 

Mereka juga menyatakan semangat mereka untuk menyaksikan kejayaan acara AMM pada 16 November ini, serta AELM pada 20 November 2020. Mereka meneguhkan sokongan mereka untuk penambahbaikan berterusan dari segi hubungan ekonomi serantau dan mengharapkan kejayaan Malaysia menuju ke minggu terakhir negara ini menjadi tuan rumah APEC tahun ini.

 

Pada akhir mesyuarat tersebut, Hairil melahirkan penghargaan kepada semua pegawai kanan atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada Malaysia di dalam menerajui tugas APEC semasa tempoh yang amat mencabar sekarang ini.

 

Menurut beliau, peralihan daripada mesyuarat secara fizikal kepada format maya sepenuhnya adalah perjalanan yang begitu mencabar untuk semua, apatah lagi dengan perbezaan 8 zon waktu.

 

Bagaimanapun, beliau kekal optimistik bahawa semangat setiakawan, persahabatan dan solidariti yang serupa akan dipanjangkan kepada New Zealand sebagai tuan rumah Mesyuarat APEC seterusnya. – DagangNews.com

 

APEC