SOP pasaran modal, panduan mesyuarat maya SC dikemas kini | DagangNews Skip to main content

SOP pasaran modal, panduan mesyuarat maya SC dikemas kini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan dan/atau mengemas kini siri prosedur operasi standard (SOP) termasuk bagi pasaran modal.

 

Ini bertujuan mengurangkan risiko penularan pandemik COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 13 Januari 2021. 

 

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), SOP bagi peserta pasaran modal (CMP) adalah susulan pengumuman oleh pihaknya pada 13 Januari lalu bahawa entiti pasaran modal yang diselia, dilesenkan atau didaftarkan oleh SC akan beroperasi menurut SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sepanjang Ordinan Darurat dan pelbagai bentuk PKP.

 

Jelas suruhanjaya itu, sebagai penyedia perkhidmatan perlu di bawah sektor perkhidmatan, CMP boleh terus menjalankan dan menyediakan aktiviti dan perkhidmatan pasaran modal. 

 

“CMP yang memerlukan surat pengesahan untuk memudahkan pergerakan perjalanan bagi pekerja mereka atau penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi fungsi kritikal boleh menghantar permintaan atau pertanyaan melalui e-mel ke ApprovalLettersCOVID19@seccom.com.my.

 

“Semua CMP diingatkan agar mematuhi SOP yang diguna pakai, berwaspada dan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengurangkan risiko penyebaran COVID-19 di tempat kerja mereka. 

 

“Ini termasuk memastikan hanya 30% kakitangan pengurusan yang dibenarkan di premis dan penangguhan aktiviti penjualan dan pemasaran di luar premis CMP atau di tempat awam bagi kawasan yang berada di bawah PKP,” jelas SC dalam sebuah kenyataan. 

 

CMP juga boleh merujuk kepada Panduan SOP mengenai Langkah-langkah Kesihatan dan Keselamatan bagi mencegah wabak COVID-19 yang dikeluarkan oleh SC. 

 

Panduan itu menggariskan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan dalam mengekang penyebaran COVID-19. 

 

Panduan dan SOP bagi pasaran modal yang dikeluarkan oleh SC dan MKN boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/covid-19 dan semua SOP yang dikeluarkan oleh MKN boleh didapati melalui Telegram dan laman sesawang MKN. 

 

Pertanyaan berkaitan dengan SOP bagi pasaran modal boleh ditujukan kepada COVID19Guidance@seccom.com.my, tambah SC.

 

Dalam masa sama, SC secara berasingan telah mengemas kini Nota Panduan mengenai Tata Cara Mesyuarat Agung bagi Penerbit Tersenarai. 

 

SC berkata, dalam Nota Panduan tersebut, suruhanjaya itu mengingatkan penerbit tersenarai agar hanya mengadakan mesyuarat secara maya sepenuhnya bagi kawasan di bawah PKP dan PKP Bersyarat (PKPB). 

 

“Mesyuarat hibrid atau fizikal boleh diadakan di kawasan di bawah PKPP atau kawasan yang tidak dikenakan sebarang larangan pergerakan. 

 

“Nota Panduan yang dikemas kini tersebut dan borang permohonan bagi pengecualian perjalanan yang terhad untuk mengadakan mesyuarat agung secara maya sepenuhnya boleh dimuat turun di https://www.sc.com.my/regulation/corporation-governance dan pertanyaan boleh ditujukan kepada AGM@seccom.com.my,” jelas SC lanjut. 

 

Sementara itu, perkhidmatan aduan bersemuka (walk in) SC ditangguhkan buat masa ini walaupun pejabat suruhanjaya itu tetap dibuka sepanjang PKP. 

 

Orang ramai boleh terus menghantar e-mel pertanyaan atau aduan mereka kepada SC melalui aduan@seccom.com.my

 

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline Aduan SC di +603 6204 8999 (9 pagi - 5 petang Isnin hingga Jumaat). 

 

Pertanyaan umum boleh ditujukan melalui e-mel cau@seccom.com.my


Pengumuman pasaran modal yang berkaitan dengan COVID-19 akan dikemas kini dari semasa ke semasa di seksyen khas COVID-19 di laman sesawang SC https://www.sc.com.my/covid-19. - DagangNews.com