Southern Cable cadang terbitan waran bonus satu untuk dua | DagangNews Skip to main content

Southern Cable cadang terbitan waran bonus satu untuk dua

Cadangkan terbitan bonus 1-untuk-2 waran 5 tahun berpotensi mengumpul sehingga RM117.7 juta hasil untuk modal kerja kumpulan.

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Southern Cable Group Bhd telah mencadangkan untuk melaksanakan terbitan bonus waran berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham biasa sedia ada yang dipegang.

 

Pengilang kabel itu berkata cadangan itu memerlukan pengeluaran 400 juta waran bagi tempoh lima tahun dengan pilihan bagi pemegang untuk melaksanakan satu waran menjadi satu saham biasa baharu Southern Cable.

 

Syarikat itu berkata, dengan harga pelaksanaan indikatif RM0.2942 bagi setiap waran dan dengan mengandaikan pelaksanaan penuh waran tersebut, kumpulan itu menjangkakan untuk mengumpul sehingga RM117.7 juta, seterusnya hasil kasar itu akan digunakan sebagai keperluan modal kerja.

 

Pengarah Urusannya, Tung Eng Hai berkata pelaksanaan modal itu akan membolehkan syarikat itu mencapai pandangan optimistiknya dalam jangka terdekat, seiring dengan keperluan operasi dan strategi pembangunan perniagaan.

 

“Modal kerja juga akan membantu dalam memenuhi jumlah pesanan kami yang melebihi RM800 juta termasuk kontrak pembekalan RM294 juta yang diperoleh baru-baru ini daripada Tenaga Nasional Bhd.

 

“Selain itu, kami sedang mempergiatkan usaha jualan kami untuk menyasarkan pasaran baharu di Malaysia dan luar negara, contohnya daripada pelanggan baharu kami di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.


 

Tung Eng Hai
                        Tung Eng Hai

 


Majoriti dana yang diperoleh akan digunakan untuk menyokong keperluan modal kerja yang meningkat dan akan memberi peluang kepada pemegang saham untuk meningkatkan penyertaan ekuiti mereka dalam syarikat, katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan korporat tertakluk kepada kelulusan pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan, tarikh kelayakan waran itu dan pelaksanaan harga sebenar akan ditentukan kemudian. - DagangNews.com