S&P Global Market Intelligence jangka kelembapan dagangan global berterusan pada suku berikutnya | DagangNews Skip to main content

S&P Global Market Intelligence jangka kelembapan dagangan global berterusan pada suku berikutnya

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - S&P Global Market Intelligence menjangkakan kelembapan dagangan global akan berterusan pada suku berikutnya, dengan potensi penguncupan akhir tahun ini dalam beberapa ekonomi.

 

Firma itu di dalam satu kenyataan berkata, kelembapan ekonomi global baru-baru ini dicerminkan dalam unjuran perdagangan globalnya tetapi ia jauh lebih rendah daripada pada suku kedua 2020 yang berkaitan dengan gelombang pertama COVID-19.

 

Katanya, walaupun berlaku kelembapan, nilai dan trend terkini berada di atas paras sebelum wabak itu berlaku.

 

Pakar Ekonomi Kanan S&P Global Market Intelligence, Jakub Kwiatkowski berkata, firma itu menjangkakan konflik di Ukraine akan mengurangkan perdagangan global sebanyak satu hingga 1.5 mata.

 

“Bagaimanapun, walaupun berlaku kelembapan yang ketara dalam data perdagangan bulanan baru-baru ini, pertumbuhan perdagangan global, pada ketika ini, masih jauh daripada negatif.

 

"Kami menjangkakan gangguan rantaian nilai global akan reda pada separuh kedua 2022 dan pada 2023," katanya.

 

Firma itu berkata, nilai sebenar dagangan global dijangka berkembang 0.3% tahun ke tahun kepada AS$20.3 trilion (RM90.2 trilion) pada 2022, dan 2.7% tahun ke tahun kepada AS$20.8 trilion pada 2023.

 

Katanya, jumlah dagangan barangan global diramalkan menurun 0.2% tahun ke tahun kepada 15 bilion tan metrik pada 2022, dan meningkat sebanyak 2.1% tahun ke tahun kepada 15.3 bilion tan metrik pada 2023.

 

Firma itu berkata, faktor paling penting yang memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa baru-baru ini ialah wabak, konflik di Ukraine, serta tekanan inflasi di dunia dan kelembapan ekonomi global, dengan ancaman kemelesetan dalam beberapa ekonomi.

 

Sementara itu, ia berkata penguncupan perdagangan pada 2020 adalah kurang ketara berbanding krisis kewangan dari 2007 hingga 2009, manakala peningkatan pada 2021 adalah sama seperti pada 2010. - DagangNews.com