Spritzer bergandingan dengan NGO salur bantuan kepada masyarakat terjejas COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Spritzer bergandingan dengan NGO salur bantuan kepada masyarakat terjejas COVID-19

 

KUALA LUMPUR 21 Sept – Spritzer Malaysia yang mengeluarkan air minuman mineral semula jadi terlaris di Malaysia, adalah komited terhadap kesejahteraan masyarakat dan telah menyumbang bantuan kepada anggota masyarakat yang kurang bernasib baik dan terjejas semasa waktu-waktu mencabar sekarang akibat pandemik COVID-19.

 

Ia cukup bermakna bagi Spritzer sebagai sebuah syarikat yang menyambut ulang tahun penubuhan ke-32 hari ini, bahawa kaedah terbaik untuk meraikan satu lagi pencapaian di dalam perjalanan korporatnya ialah dengan meneruskan komitmen untuk menyokong sesama rakyat Malaysia, khususnya mereka yang telah terpinggir di dalam masyarakat dan kekurangan barangan keperluan seperti makanan, tempat berlindung atau air minuman yang selamat.

 

Spritzer Malaysia mengakui pandemik ini begitu berat kesannya terhadap golongan berpendapatan Bawah-40, masyarakat Orang Asli, gelandangan dan penduduk luar bandar.

 

Syarikat ini telah meningkatkan program capaian masyarakatnya pada April 2021 menerusi kerjasama dengan badan bukan kerajaan  (NGO) iaitu membekalkan mereka bantuan dalam bentuk air minuman bersih ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda.

 

Spritzer sehingga sekarang, telah menyumbang bantuan bernilai lebih daripada RM60,000 yang diagihkan menerusi NGO, bank makanan dan restoran selain aktiviti sumbangan dermia lain, dan akan berterusan menyokong inisiatif dan program capaian masyarakat yang menyasar kepada kumpulan terpinggir atau terjejas teruk.

 

Kumpulan Syarikat Spritzer merangkumi lapan subsidiari perniagaan, mengkhusus di dalam pembuatan dan pengedaran air mineral semula jadi, air mineral semula jadi sparkling, air minuman suling, air berperisa buah bukan karbonat dan minuman berfungsi.

 

Syarikat yang sudah beroperasi 32 tahun ini, merupakan pengeluar air botol terbesar, tertua dan satu-satunya yang disenarai di Bursa Malaysia. - DagangNews.com