SPV 5G : MCMC akan pantau Digital Nasional Berhad | DagangNews Skip to main content

SPV 5G : MCMC akan pantau Digital Nasional Berhad

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 2 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan akan memantau penawaran perkhidmatan secara borong oleh Digital Nasional Berhad (DNB) berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

 

Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata, dalam mengawal selia pihak DNB, MCMC akan kekal fokus dalam
usahanya untuk meningkat dan memperluaskan liputan kesalinghubungan digital. 

 

Ia juga termasuk merangsang pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara menerusi peluang-peluang yang dipacu oleh 5G.

 

"Kepantasan dan penjimatan kos daripada pelaksanaan 5G boleh dipindahkan untuk memanfaatkan pengguna," katanya. 

 

Baca : SPV untuk 5G didakwa membimbangkan, mencurigakan

 

DNB adalah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) kerajaan yang diumumkan untuk melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara, akan dilesenkan di bawah AKM 1998.

 

Ini bermakna, seperti juga mana-mana pemegang lesen lain dalam industri komunikasi dan multimedia, DNB adalah tertakluk kepada kawal selia oleh MCMC, walaupun entiti berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

 

Dalam hal ini, katanya, MCMC akan mengawal selia dan memantau DNB melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah AKM 1998. 

 

"Ini bagi memastikan antaranya, penggunaan spektrum secara optimum dan supaya syarikat telekomunikasi dapat memperolehi capaian terbuka, saksama dan adil kepada perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk penyediaan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G," jelasnya. 

 

Menurut MCMC, matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital menerusi pengumuman MyDigital baru-baru ini, memerlukan suatu usaha yang mantap, berdaya tahan dan pantas oleh semua pihak sambil mematuhi kepada peraturan dan atdbir urus yang betul. 

 

Sehubungan itu, jelasnya, DNB akan berperanan sebagai pihak borong berkecuali (neutral), yang membolehkan syarikat telekomunikasi untuk memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam membangunkan perkhidmatan runcit yang inovatif sebagai tawaran perkhidmatan kepada pengguna, perusahaan dan kerajaan. 

 

Katanya, dengan membebaskan syarikat telekomunikasi sedia ada daripada keperluan melabur untuk membina infrastruktur 5G, usaha dan sumber syarikat-syarikat ini boleh ditumpukan kepada langkah memperluaskan perkhidmatan 4G. 

 

"Langkah ini juga termasuk bagi rangkaian gentian optik di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang begitu penting kepada pelaksanaan 5G. 

 

"Pada masa sama, ia dapat memastikan jurang digital dapat dikurangkan," katanya.

 

Semalam, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pelantikan Ahli Pengurusan Kanan DNB, yang menyaksikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dilantik sebagai pengerusi manakala Augustus Ralph Marshall sebagai ketua pegawai eksekutif.

 

Menurut MoF, ahli-ahli Lembaga Pengarah DNB terdiri daripada Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Yusof Ismail selain Datuk Mohamed Sharil Tarmizi serta Datuk Muthanna Abdullah. - DagangNews.com