SSTC sediakan latihan kemahiran kepada lepasan sekolah, siswazah, golongan diberhenti kerja di Sabah | DagangNews Skip to main content

SSTC sediakan latihan kemahiran kepada lepasan sekolah, siswazah, golongan diberhenti kerja di Sabah

Seorang pelatih menerima bimbingan dalam program IT anjuran Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah (SSTC).
Oleh DOMINIC G. JOSEPH 

KOTA KINABALU 11 Mac - Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah (SSTC) menyediakan pelbagai bentuk latihan untuk pelatih lepasan sekolah, siswazah dan golongan yang diberhentikan pekerjaan yang disesuaikan dengan keperluan industri dan juga keadaan semasa pasca pandemik COVID-19.

 

Pengurus Latihan SSTC Jennifer Micheal berkata, SSTC prihatin dan memahami keadaan semasa di mana orang memerlukan pekerjaan setelah melalui tempoh sukar semasa Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan pandemik.

 

Menurutnya, di persidangan Dewan Rakyat, dilaporkan terdapat seramai 2,667 orang di Sabah dilaporkan hilang pekerjaan dalam tempoh Januari hingga 5 November 2021 dan berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran golongan belia berumur bawah 24 tahun di Sabah ialah 17.3%.

 

Dalam konteks ini kata beliau, SSTC berperanan menyediakan latihan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

 

Pada masa ini ujarnya lagi, SSTC aktif dengan pengambilan pelatih untuk Sijil Pengurusan Runcit, Sijil Penyelia Keselamatan dan  Sijil Amalan Baik Perkilangan Untuk Industri Makanan, Analisis Kawalan Bahaya Kritikal dan Audit Dalaman. 

 

Menurutnya, SSTC menawarkan kursus kemahiran yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan dari segi yuran kursus.

 

‘’Pelatih yang mengikuti kursus latihan di SSTC akan berpeluang menyertai kursus latihan di dalam kelas dan juga latihan amali.

 

‘’SSTC juga membantu dengan penempatan kerja dengan industri yang berkaitan namun tertakluk kepada kelayakan pelatih dan ketersediaan pekerjaan dengan majikan tersebut,’’ katanya kepada DagangNews.com di sini.

 

sstc
Pengurusan SSTC (dari kiri), Jennifer Micheal (Pengurus Latihan), Viviantie Sarjuni (Pengurus Besar SCENIC), Natalie Fung (Pengarah SSTC) dan Machat Puthur Unnikrishnan @ Ken (Rakan Industri SSTC) 

 

Pusat Kemahiran dan Teknologi Sabah (SSTC) ditubuhkan pada 27 September 2007 adalah pusat pembangunan kemahiran Sabah, dan hasil kerjasama rapat antara Kerajaan Sabah dan industri.

 

SSTC menerima pembiayaan dan infrastruktur daripada Kerajaan Persekutuan dan Sabah, manakala usahawan-usahawan daripada pelbagai industri memberi sokongan dan kepimpinan. 

 

Menurut Jennifer, SSTC menyediakan latihan-latihan yang memenuhi keperluan semasa dengan mengukuhkan tahap pengetahuan dan kemahiran tenaga kerja di negeri Sabah dan juga Labuan.

 

Katanya, pengurusan SSTC yang diketuai oleh pengarah, Natalie Fung telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memantapkan pembangunan pendidikan serta kemahiran untuk golongan belia di Sabah selaras dengan matlamat Kerajaan Sabah ke arah pembangunan kemahiran industri yang lebih kompeten dan berdaya saing.

 

sstc

 

Contohnya pada tahun 2018, SSTC menandatangani perjanjian kerjasama dengan UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST) sebuah syarikat milik penuh Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menawarkan Program Sijil Pengurusan Perladangan dan Kemahiran Industri dalam Pengurusan Agro-Bisnes.

 

Dari tahun 2018 hingga ke tahun 2021 seramai 42 pelatih telah menamatkan pengajian dalam Sijil Pengurusan Perladangan.  

 

Di samping itu, SSTC bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia telah mewujudkan satu program yang memberi manfaat kepada belia dari daerah Ranau dan Tuaran.

 

Latihan ini memfokuskan kepada pemantapan sektor keusahawanan dalam sektor pemprosesan makanan. Seramai 50 pelatih telah berjaya menamatkan latihan pada bulan Disember 2021.

 

sstc
Latihan keselamatan dan menyelamat di kilang turut disediakan oleh SSTC.

 

'’Program ini telah menarik seramai 50 pelatih terdiri daripada wanita golongan B40 terutamanya ibu tunggal dan belia yang menetap di Daerah Tuaran dan Ranau.

 

‘’Objektif melaksanakan program latihan ini ialah untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu untuk menaiktaraf entiti perniagaan pemprosesan makanan secara berintegriti serta memanfaatkan hasil bumi yang sedia ada,’’ ujarnya. – DagangNews.com