Stigma negatif jadi punca sektor perladangan berdepan krisis kekurangan pekerja | DagangNews Skip to main content

Stigma negatif jadi punca sektor perladangan berdepan krisis kekurangan pekerja

KUALA LUMPUR 27 Jan - Syarikat perladangan sawit di Malaysia berdepan realiti yang sukar di sebalik lonjakan harga sawit apabila terdapat ribuan pekerjaan yang 'dipinggirkan' dalam sektor tersebut.

 

Memetik laporan Bloomberg, meskipun harga yang tinggi menggalakkan penanaman dan pengeluaran tanaman, namun output di Malaysia merosot ke paras 5 tahun terendah pada 2021.

 

Dalam hal ini, syarikat perladangan mendapati punca utamanya adalah krisis kekurangan buruh yang terburuk pernah dialami setakat ini. 

 

Menjadi pekerjaan yang tidak diminati rakyat tempatan kerana dianggap kotor, berbahaya dan sukar, kerja-kerja menuai di negara ini kebanyakannya dilakukan pekerja asing yang merangkumi 85% daripada tenaga buruh. 

 

Pada masa sama, syarikat perladangan juga berdepan dengan bekalan pekerja yang semakin menurun kerana kebanyakannya yang juga rakyat Indonesia, memilih untuk pulang ke negara mereka disebabkan bayaran upah yang lebih baik dan atau memilih pekerjaan di bandar.

 

 

sawit
Syarikat perladangan berdepan kesukaran dapatkan pekerja di ladang sawit disebabkan pelbagai stigma negatif.

 

 

Ketua firma perundingan LMC International di Asia Tenggara, Julian Conway McGill berkata, terdapat masalah imej di Malaysia apabila ia dikaitkan dengan kerja buruh dan perladangan. 

 

"Rakyat tempatan tidak mahu melakukannya kerana ia dianggap sukar dan kurang bergaya," katanya dalam laporan berkenaan hari ini. 

 

Masalah buruh semakin buruk apabila tercetusnya pandemik yang menyebabkan sempadan ditutup dan kerajaan melanjutkan pembekuan pengambilan pekerja asing, sekali gus menutup akses kepada pekerja baharu.

 

Situasi itu menyaksikan hasil buah tandan segar menjunam ke paras terendah tahun lalu dalam tempoh 3 dekad, mengakibatkan pengeluaran paling rendah sejak 2016.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Naqeeb Wahab dalam laporan itu menyifatkan pandemik COVID-19 membuka mata banyak pihak terhadap isu berkenaan. 

 

"Dalam tempoh 2 tahun lalu, tiada pekerja yang datang, tetapi kita dapat meneruskan kelangsungan kerana harga sawit yang baik," jelasnya. 

 

sawit
Aktiviti penuaian terpaksa dikurangkan dan buah yang masak hanya dibiarkan rosak di atas pokok.

 

 

Tanpa jumlah pekerja yang mencukupi, syarikat perladangan terpaksa mengurangkan pusingan penuaian dan 
membiarkan buah yang sudah masak, rosak di atas pokok.

 

Walaupun kekurangan pengeluaran melonjakkan kenaikan global ke atas minyak makan, syarikat perladangan kehilangan sejumlah besar potensi pendapatan.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada Disember lalu menganggarkan industri sawit kehilangan AS$3.4 bilion (RM14.29 bilion) pada 2021, dengan kekurangan penuai dan pengutip buah mencecah lebih daripada 25,000 orang setakat Ogos.

 

Naqeeb berkata, syarikat perladangan begitu terdesak untuk mendapatkan pekerja, hingga mereka cuba menarik pekerja tempatan dengan gaji yang tinggi dan mengupah banduan. 

 

"Tetapi kadar pergeseran bagi penduduk tempatan adalah tinggi, dengan hampir separuh pekerja yang diambil pada 2020 meninggalkan pekerjaan mereka, sementara yang mengambil parol pula mencetuskan kebimbangan daripada kumpulan bukan kerajaan," jelasnya lagi.

 

 

sime darby
Sime Darby Plantation terpaksa merayu untuk mendapatkan pekerja tempatan bekerja di ladang tetapi kurang sambutan.

 

 

Antara syarikat yang merayu kepada rakyat tempatan adalah Sime Darby Plantation Bhd., pengeluar terbesar dunia dari segi kawasan perladangan.

 

Di sebalik menawarkan pendapatan yang stabil dan manfaat seperti rumah percuma, utiliti bersubsidi dan penjagaan harian, maklum balas yang diterima tetap hambar.

 

"Bekerja di ladang masih dianggap sebagai berbahaya, sukar dan kotor. Ini sepatutnya menjadi stigma yang harus ditangani oleh industri," menurut syarikat tersebut.

 

Malah, Sime Darby Plantation berkata, syarikat perladangan sedang berusaha untuk menjenamakan semula dan merombak kerja-kerja ladang untuk menjadikannya menarik kepada pekerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. 

 

Antaranya, termasuklah penggunaan automasi dan mekanisasi untuk menjalankan kerja penuaian serta teknologi dron, kecerdasan pintar dan robotik di sepanjang rantaian bekalan. - DagangNews.com