Stok minyak sawit mentah cecah paras tertinggi 9 bulan | DagangNews Skip to main content

Stok minyak sawit mentah cecah paras tertinggi 9 bulan

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Stok minyak sawit mentah meningkat ke paras 9 bulan tertinggi sebanyak 1.61 juta tan metrik setakat akhir Jun 2021. 

 

Ini seiring dengan peningkatan pengeluaran dan import yang mengimbangi lonjakan mendadak bagi eksport. 

 

Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) seperti dilapor Reuters menunjukkan paras inventori Malaysia meningkat 2.82% bulan ke bulan sejak September lalu. 

 

Pengeluaran minyak sawit mentah pula meningkat 2.21% kepada 1.61 juta tan metrik mulai Mei, meningkat 4 bulan berturut-turut.

 

Di samping itu, peladang juga berusaha untuk mengutip buah sawit relai bagi meningkatkan hasil di tengah-tengah musim pengeluaran puncak, tetapi output masih kekal terhad disebabkan kekurangan tenaga buruh disebabkan penutupan sempadan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

 

Broker dan pengurus jualan institusi di Philip Futures Kuala Lumpur, Marcello Cultrera berkata, data itu turut menunjukkan pengeluaran meningkat pada kadar yang rendah berbanding anggaran 3 hingga 6% pertumbuhan output manakala permintaan sejajar dengan jangkaan pasaran.

 

Eksport pada Jun meningkat 11.84% kepada 1.42 juta tan metrik selepas merosot 6% pada bulan sebelumnya, menurut MPOB.

 

Penganalisis dan pedagang pula melihat import melonjak 27% daripada Mei, lebih tinggi daripada jangkaan dan mencerminkan pasaran yang terhad.

 

Ketua Penganalisis Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata, penggunaan domestik menyaksikan penurunan sehingga 38% dan ia sememangnya dijangkakan selepas berakhirnya Ramadan dan langkah kawalan bagi mengekang wabak itu turut menjejaskan penggunaan. - DagangNews.com