Strategi PNB anjur minggu saham berjaya tingkatkan daya maju syarikat | DagangNews Skip to main content

Strategi PNB anjur minggu saham berjaya tingkatkan daya maju syarikat

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (kanan) ketika melancarkan Minggu Saham Digital 2021 hari ini.

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 18 Nov - Strategi Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) selama 2 dekad yang kini dikenali Minggu Saham Digital (MSD) membuahkan hasil apabila berjaya meningkatkan penjenamaan, perniagaan, keberuntungan dan daya maju syarikat. 

 

Pengerusi PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, pencapaian itu dicerminkan melalui peningkatan setiap tahun petunjuk utama prestasi (KPI).

 

Katanya, secara fizikal atau maya, objektif penganjurannya masih kekal sama, untuk mendidik dan menyemai kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya merancang kewangan daripada usia muda.

 

"Jika sebelum ini MSAM berjaya menarik penyertaan kira-kira 4 juta rakyat Malaysia selama 20 tahun penganjurannya, MSD yang julung kali dianjurkan tahun lalu berjaya menarik lebih 2 juta tontonan untuk acara yang berlangsung selama 7 hari. 

 

"Sambutan menggalakkan daripada orang ramai telah mendorong PNB untuk meneruskan MSD pada tahun ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran MSD 2021 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara maya hari ini. Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

 

Bermula dengan MSAM sejak 2000 hingga 2019, program tahunan literasi kewangan PNB ini telah beralih kepada platform digital sejak tahun lalu.

 

Tun Ariffin menyifatkan acara tersebut kekal sebagai salah satu platform interaktif untuk rakyat Malaysia mendalami ilmu kewangan dan mengenali PNB serta syarikat pelaburan di bawahnya dengan lebih dekat.

 

Beliau berkata, MSD membolehkan PNB mendekati segenap lapisan rakyat dengan kaedah lebih mudah iaitu menerusi akses di hujung jari.
 

 

"Bertemakan #LaburBersama, MSD 2021 memberi peluang kepada pelabur kami khususnya, dan seluruh masyarakat amnya, memahami bagaimana pelaburan mereka dalam unit amanah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menyumbang kepada kekuatan diri mereka dan ekonomi negara," jelasnya. 

 

 

pnb
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (kiri) bersama Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria dan Timbalan Presiden & Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Mohd Nizam Zainordin pada majlis pelancaran Minggu Saham Digital 2021.

 

 

Mulai semalam, MSD 2021 bersiaran setiap hari mulai pukul 12.30 tengah hari hingga 10.00 malam selama 7 hari sehingga 23 November ini melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD. 

 

Rakyat Malaysia berpeluang mengikuti dan mengambil bahagian dalam lebih 70 program hibur-didik yang disertai oleh pakar and peneraju dalam bidang dan industri masing-masing, di samping personaliti dan selebriti terkenal. 

 

Mereka juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang keseluruhannya bernilai RM500,000. 

 

Antara program utama MSD termasuklah Sembang-Sembang ASNB; ASNB Whoa! Shop; ASB Masterclass; Bijak Finance; Lalabur; Excuse Me; Nak Tanya Boleh?; Santai Bicara Muamalat; Bincang & Bangkang; Roda Labur; Cash It In; Upin & Ipin; Adik, Boleh Lukis?, Lepak Je.

 

Di samping itu, Rakan-Rakan Korporat MSD masing-masing turut menghidangkan pelbagai program hibur-didik lain. 

 

Tahun ini ia menyaksikan Rakan Premier MSD iaitu Maybank Bhd., Sime Darby Plantation Bhd. and UMW Holdings Bhd. manakala Rakan Utama MSD pula termasuklah Sime Darby Bhd., Sime Darby Property Bhd., S P Setia Bhd., MIDF Bhd. dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua).

 

Bagi Rakan MSD pula terdiri daripada MNRB Holdings Bhd., Duopharma Biotech Bhd., Velesto Energy Bhd. dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas). - DagangNews.com