KUALA LUMPUR 22 Ogos - Pos Malaysia Bhd. merekodkan keuntungan buat kali pertama dalam tempoh 15 suku berturut-turut, di sebalik persekitaran operasi yang mencabar.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM200,000, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM29.9 juta pada suku pertama 2022.
Ini menjadikan pendapatan pada suku kedua sebanyak RM517.3 juta, meningkat 6.8% berbanding RM484.3 juta juta yang direkodkan pada suku sebelumnya. Untuk tahun ke tahun, ia menyusut 3% daripada RM533.89 juta.
TERKINI : Kenanga Research kekal pandangan `market-perform' terhadap Pos Malaysia disebalik berdepan cabaran era digital
Bagaimanapun, bagi perbandingan tahun ke tahun, kerugian bersih Pos Malaysia mengecil kepada RM5.25 juta pada suku berkenaan berbanding kerugian bersih RM121.84 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Pos Malaysia merekodkan kerugian bersih sebanyak RM35.62 juta berbanding kerugian bersih RM168.63 juta yang dicatatkan tahun lalu manakala pendapatan bagi tempoh itu susut sedikit kepada RM1 bilion daripada RM1.13 bilion.
Pos Malaysia menyifatkan prestasi yang memberangsangkan itu disumbangkan oleh kepelbagaian pelanggan dan pendapatan serta pengurusan kos yang efektif, sekali gus menurunkan kos pengangkutan dan penghantaran.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer yakin kumpulan berada dalam landasan yang betul untuk mencapai prestasi kewangan yang lebih baik.
Katanya, transformasi yang dilalui kumpulan sejak 12 bulan lalu mula membuahkan hasil yang positif dan menyedari masih banyak yang perlu dilakukan.
"Saya amat berbangga dengan setiap kakitangan Pos Malaysia, atas dedikasi, semangat dan komitmen berterusan mereka.
"Kami mempunyai perkhidmatan penghantaran terbaik di Malaysia dengan jangkauan jarak jauh yang paling luas, menghubungkan ke lebih 10 juta alamat di seluruh Malaysia," katanya.
Beberapa penekanan khusus akan diberikan dalam melaksanakan strategi Pos Malaysia iaitu keutamaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan seronok melalui penglibatan kakitangan secara menyeluruh, memberikan perkhidmatan berkualiti serta menggembirakan pelanggan.
Selain daripada kejayaan perniagaan mel dan bungkusan, segmen penerbangan dan logistik turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan sementara prospek ekonomi kekal positif.
Bagaimanapun, Brewer optimis dan berhati-hati prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) akan mempamerkan peningkatan berbanding FY21.
"Kami akan terus memberi tumpuan untuk menyampaikan perniagaan bungkusan dan runcit yang menguntungkan, mengubah operasi teras, mengoptimumkan perniagaan yang diterajui margin dan memastikan kami berada pada kedudukan yang baik untuk masa depan yang lebih baik," jelasnya.
Dengan ketidaktentuan ekonomi yang beterusan dan perubahan tingkah laku pelanggan, beliau bagaimanapun menjangkakan separuh kedua FY22 kekal mencabar.
"Fokus akan tetap diberikan kepada keseimbangan daripada segi kepelbagaian pelanggan, meningkatkan pendapatan, pengurusan kewangan disamping memberikan perkhimatan berkualiti serta memastikan pengalaman pelanggan yang optimum di setiap titik sentuh," katanya. - DagangNews.com