Suami Shahrizat Jalil, 2 anak berdepan tuntutan saman Maybank Singapore | DagangNews Skip to main content

Suami Shahrizat Jalil, 2 anak berdepan tuntutan saman Maybank Singapore

Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dinamakan sebagai defendan pertama dalam tuntutan saman dikemukakan Maybank Singapore Ltd. itu - Gambar MalayMail
 

 


KUALA LUMPUR 2 Ogos - Maybank Singapore Ltd mengemukakan tuntutan saman terhadap Pengerusi National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya kerana gagal melunaskan dua kemudahan pinjaman perumahan untuk hartanah di Singapura.

 

Maybank Singapore, yang juga merupakan plainitif memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Julai lalu melalui firma guaman Tetuan Benjamin Dawson, memetik laporan TheEdge hari ini.

 

Tuntutan itu menamakan Mohamad Salleh sebagai defendan pertama manakala anaknya, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah masing-masing defendan kedua dan ketiga.

 

Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti,  Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang juga bekas Ketua Wanita UMNO.

 

Menurut pernyataan tuntutan seperti yang dilihat portal berbahasa Inggeris itu, Maybank Singapore 
meminta penghakiman mahkamah berjumlah S$2.53 juta sebagai jumlah tertunggak di bawah kemudahan pinjaman yang masih harus dibayar oleh defendan dengan bank.

 

Bagi kemudahan pinjaman pertama, Maybank Singapore memberi pinjaman sebanyak S$4.37 juta pada 2009 kepada 3 defendan tersebut untuk membiayai pembeli pangsapuri mewah di Orchard Scotts.

 

"Bagaimanapun, ketiga-tiga defendan gagal membayar ansuran bulanan sebanyak S$7,225 dengan jumlah tertunggak sebanyak S$3.94 juta pada 22 Jun 2018, bersama dengan semua kepentingan yang terakru.

 

"Selepas kesemua defendan gagal membayar jumlah yang diminta itu, Maybank Singapore kemudian menggunakan haknya dengan mengambil semula dan menjual hartanah tersebut melalui lelongan pada harga S$3.2 juta," menurut laporan berkenaan.

 

Penjualan itu bagaimanapun, tidak mencukupi untuk mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan baki tertunggak dan setakat 29 Disember 2020 sebanyak S$1.37 juta belum dijelaskan.

 

Jelas laporan itu lagi, bagi pinjaman hartanah kedua, Maybank Singapore memberi pinjaman berjumlah S$5.38 juta pada 2010 kepada 2 defendan pertama untuk membiayai pembeli kondominium mewah di Marina Bay.

 

"Tetapi, sekali lagi, Mohamad Salleh dan Wan Shahinur Izran gagal melunaskan bayaran bulanan sebanyak S$8,700 dengan S$5.06 juta jumlah tertunggak setakat 4 Jun 2018 beserta faedah terakru," katanya. 

 

Maybank Singapore kemudiannya menggunakan haknya dengan mengambil semula dan menjual hartanah tersebuat melalui penjualan perjanjian persendirian dengan harga S$4.68 juta.

 

Namun, jualan itu gagal menampung jumlah tertunggak sedia ada dan setakat 29 Disember 2020, masih terdapat S$1.17 juta belum dijelaskan. 

 

"Sehubungan itu, tuntutan itu mendakwa ketiga-tiga defendan telah gagal, tidak mengendahkan dan atau mengabaikan bayaran yang diminta, hingga mengakibatkan bank mengadili perkara tersebut melalui mahkamah Malaysia," jelas laporan itu.

 

Dalam masa sama, keluarga ini juga berdepan tuntutan saman sebanyak RM250 juta oleh kerajaan Malaysia. 

 

Di bawah saman itu, kerajaan menuntut sebanyak RM253.62 juta, yang mewakili jumlah hutang NFC, dengan kadar faedah 2% bermula 1 Mei 2019.

 

Mereka didakwa menyalahgunakan dan menyeleweng penggunaan wang sebanyak RM188 juta daripada RM250 juta pinjaman yang diberikan kepada NFC oleh kerajaan pada Disember 2007 untuk membina dan mengendalikan pusat fidlot kebangsaan di Gemas, Negeri Sembilan. - DagangNews.com