Skip to main content

Subsidi kerajaan, kawalan harga bantu kawal kadar inflasi negara - Mustapa

KUALA LUMPUR 24 Mei - Meskipun kadar inflasi bagi April dijangka  meningkat  ekoran kenaikan harga barang, ia masih dilihat rendah dan mampu dikawal kerajaan disebabkan adanya bantuan subsidi yang meluas oleh kerajaan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kawalan harga bahan mentah yang diwujudkan kerajaan juga berjaya menjadikan kadar inflasi di negara ini rendah iaitu sebanyak 2.2% pada Mac 2022.

 
"Di Amerika Syarikat (AS) kadar inflasi sudah mencapai 8.3% manakala United Kingdom mencecah 9%.

 

"Alhamdulillah oleh kerana kita ada kawalan harga dan subsidi, ini menjadikan kadar inflasi kita rendah, umpamanya subsidi untuk minyak masak, subsidi untuk gas.

 

“Subsidi untuk petroleum misalnya harga sebenar adalah lebih RM4, tetapi rakyat hanya bayar RM2.05 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel seliter," katanya majlis permeteraian kerjasama antara AirAsia Academy dengan MyDIGITAL Corporation bagi program meningkatkan kemahiran berkaitan digital- Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) untuk rakyat Malaysia, lapor Bernama.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia meningkat 2.2% kepada 125.6 pada Mac 2022 berbanding 122.9 pada Februari, melebihi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022 iaitu 1.9%. 

 

tokpa
Mustapa Mohamed

 

Mengenai langkah melaksanakan subsidi bersasar, Mustapa berkata, perkara tersebut kini sedang diteliti lebih terperinci dan akan diumumkan pada masa yang akan ditentukan kelak. 

 

Menurutnya, antaranya subsidi bersasar yang sudahkan dilaksanakan kerajaan adalah subsidi untuk mengerjakan ibadah Haji. 

 

"Kerajaan sedar rakyat berasa tertekan dengan kenaikan harga oleh itu kerajaan telah menyediakan subsidi yg besar dan subsidi akan diteruskan, cumanya dari segi dasar kita telah buat keputusan untuk melaksanakan dasar subsidi bersasar bagi golongan yang layak dan memerlukan," katanya.

 

Sementara, Mustapa memuji langkah yang diambil oleh AirAsia Academy untuk melatih rakyat Malaysia dengan menyediakan program kemahiran dan latihan semula bagi menambah baik kebolehpasaran mereka, prospek kemajuan kerjaya serta meningkatkan keupayaan untuk membangun, mereka bentuk dan menginovasi penyelesaian teknologi 4IR. 

 

Kerjasama antara AirAsia Academy dengan MyDIGITAL Corporation itu adalah bertujuan untuk mempercepat literasi digital dalam kalangan pelajar dan menambah kemahiran semula bagi menyumbang kepada ekonomi digital negara yang semakin berkembang dan 4IR. - DagangNews.com