Subsidi minyak masak kurangkan impak harga MSM global | DagangNews Skip to main content

Subsidi minyak masak kurangkan impak harga MSM global

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) telah melonjak dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan tetap pada kadar rendah. 

 

Situasi itu berjaya dikawal apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan subsidi minyak yang telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan. 

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pengguna juga mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) pada harga RM2.50 terutarnanya bagi golongan B40.

 

Mohd. Khairuddin
Mohd. Khairuddin Aman Razali

 

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar dalam media sosial kebelakangan ini yang rnengaitkannya dengan kenaikan harga MSM. 

 

“Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1kg. 

 

“Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Ujar Mohd. Khairuddin, Malaysia dalam masa yang sama mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2020.

 

Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879 satu tan dan rneningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disernber 2020, katanya lagi. 

 

Tambah beliau, harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7% atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019.

 

“Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.

 

“Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosio ekonomi pada ketika ini. 

 

“Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh kerajaan,” ulasnya lanjut. - DagangNews.com