Subsidi RM60 ujian saringan COVID-19 pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Subsidi RM60 ujian saringan COVID-19 pekerja asing

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Pekerja-pekerja asing yang merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekerja di Kuala Lumpur, Selangor, Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Sabah layak menjalani ujian saringan COVID-19 secara subsidi di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) mulai 21 November 2020.

 

Ini seiring arahan kerajaan melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 20 November lalu agar semua pekerja asing di negeri-negeri berkenaan wajib menjalani ujian saringan COVID-19. 

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu sebelum membuat permohonan subsidi PSP daripada Perkeso. 

 

Ujarnya, Perkeso akan membuat bayaran subsidi sehingga RM60 bagi setiap ujian saringan COVID-19 yang dijalankan. 

 

m saravanan
M. Saravanan

 

“Bayaran ini hanya dibuat sekali sahaja untuk setiap pekerja. 

 

“Ujian saringan yang menggunakan kaedah RTK Antigen ini perlu dijalankan di klinik atau hospital yang berdaftar sebagai Klinik Panel Program Saringan Kesihatan Perkeso (HSP). 

 

“Direktori klinik panel boleh dirujuk di Portal PSP (https://psp.perkeso.gov.my),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Dalam masa sama, majikan dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja mereka. 

 

“Maklumat lanjut berkenaan program ini akan dikemaskinikan di Portal PSP Perkeso (https://psp.perkeso.gov.my). 

 

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Perkeso melalui emel hsp@perkeso.gov.my atau talian hotline 1-300-22-8000 atau 03-4264 5089,” tambah Saravanan. - DagangNews.com