Skip to main content

Sukar bagi MAHB kembali pulih ke tahap sebelum pandemik - Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Jan - Maybank Investment Bank (IB) Research menjangkakan trafik penumpang antarabangsa dan domestik hanya kembali pulih masing-masing pada 80% dan 100% daripada paras sebelum pandemik COVID-19 dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Penganalisisnya, Yin Shao Yang berkata, walaupun syarikat penerbangan berkemungkinan mengendalikan jumlah pesawat yang lebih sikit berbanding 2019 tetapi dalam jangka masa panjang sukar bagi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kembali pulih ke tahap 100% daripada paras sebelum wabak itu tercetus.

 

Katanya, selepas hampir 2 tahun mengalami gangguan, trafik penumpang Malaysia semakin pulih dengan lebih 50% pesawat yang dikendalikan syarikat penerbangan kembali semula dalam perkhidmatan.

 

"Bagaimanapun, strategi kumpulan pesawat menunjukkan lebihan kapasiti pada 2019 sudah ketinggalan. Ini adalah negatif kepada MAHB memandangkan trafik penumpang tidak mungkin pulih ke tahap sebelum COVID-19.

 

"Tetapi, perkara ini adalah positif untuk AirAsia Group Bhd. kerana tambang penerbangan berkemungkinan meningkat dalam jangka masa panjang kerana permintaan kembali pulih," katanya dalam nota kajian pada Rabu. 

 

Setakat ini, firma itu mengekalkan unjuran trafik penumpang domestik dan antarabangsa akan kembali pulih masing-masing kepada 45% dan 20% daripada tahap sebelum pandemik pada 2022.

 

Pergerakan penumpang bulanan bagi kumpulan lapangan terbang yang dikendalikan MAHB termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) di Turki melebihi 5 juta buat kali pertama bagi 2021, pada Disember.

 

MAHB menjelaskan mereka mencatatkan 5.35 juta pergerakan penumpang, dengan operasi Malaysia menyumbang 3.11 juta atau 58% manakala ISG menyumbang 2.23 juta atau 42%.

 

Bagi Malaysia, pertumbuhan itu dipacu terutama oleh trafik domestik yang mencatatkan 2.8 juta penumpang, peningkatan 30% daripada 2.16 juta penumpang pada November, susulan musim cuti hujung tahun yang panjang.

 

Pergerakan penumpang antarabangsa juga mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan daripada November, sebanyak 114% kepada 320,371 pergerakan pada Disember.

 

Menurut Shao Yang, tahun 2021 berakhir dengan syarikat penerbangan beroperasi dengan 242 pesawat, susut 10% daripada paras tinggi pada 2019.

 

"Dalam tempoh terdekat, AirAsia X akan mengurangkan kumpulan pesawatnya kepada 13 dan menumpukan kepada pengangkutan kargo manakala Malaysia Airlines pula berharap untuk menjual 6 pesawat A380 pada suku ini," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor penerbangan negara. 

 

Firma itu memberi saranan 'beli' terhadap AirAsia manakala 'pegang' bagi MAHB dengan harga sasaran masing-masing pada RM1.31 dan RM6.10. - DagangNews.com