Sukar pasaran buruh pulih akibat PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

Sukar pasaran buruh pulih akibat PKP 3.0

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Sukar untuk pasaran buruh terus pulih ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara yang akan melemahkan aktiviti penggunaan. 

 

Aktiviti ekonomi yang lebih lemah akan mempengaruhi majikan untuk mempertimbangkan keputusan mereka dalam mengambil pekerja memandangkan kewangan syarikat dijangka berdepan kesukaran ketika ini. 

 

Ini seterusnya, menurut MIDF Research, akan menjejaskan pemulihan pasaran buruh yang telah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi pada Mei 2020, iaitu 5.3%. 

 

“Prospek kadar pengangguran yang kian meningkat dalam sektor tidak penting selain kesan daripada aktiviti lemah di restoran juga tinggi. Situasi pasaran buruh yang lemah dan pendapatan lebih rendah akan menjejaskan aktiviti penggunaan, seterusnya mengheret turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

“Sektor yang dijangka terjejas daripada sekatan itu adalah perdagangan borong dan runcit, di mana akan menyaksikan jualan lebih rendah ekoran aktiviti penggunaan luar rumah yang berkurangan dan lebih ramai rakyat yang kembali bekerja dari rumah,” jelas MIDF dalam nota kajiannya baru-baru ini. 

 

Kira-kira empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sebuah kenyataan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021. 

 

Keputusan itu diambil ekoran Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan krisis nasional, namun aktiviti ekonomi masih dibenarkan beroperasi.

 

MIDF bagaimanapun tidak menolak kemungkinan impak PKP 3.0 lebih rendah sekiranya pelaksanaannya serupa dengan penguatkuasaan PKP 2.0 sebelum ini. 

 

Kata firma penyelidikan itu, impak PKP 2.0 adalah lebih baik daripada jangkaan.

 

“Pelaksanaan PKP 2.0 untuk tempoh beberapa minggu pada suku pertama dilihat mempunyai impak ekonomi yang lebih kecil dan tidak secara signifikan menjejaskan landasan pemulihan seperti mana ditonjolkan dalam KDNK suku pertama 2021 (1Q21) yang bertambah baik,” ujar MIDF lanjut. 

 

Walaupun KDNK pada suku berkenaan menunjukkan penguncupan 0.5% tahun ke tahun (y-o-y), namun bagi MIDF, ini lebih baik daripada ramalannya. 

 

Baca : MIDF semak naik unjuran KDNK 2021 kepada 6.2%

 

Malah, penguncupan itu lebih baik berbanding Filipina dan Indonesia yang masing-masing menyusut -4.2% dan -0.7%, jelas MIDF lagi. - DagangNews.com