Skip to main content

Sukarelawan bantu mangsa banjir, tanpa riuh di Facebook

BARANGAN yang rosak binasa termasuk kereta akibat bencana banjir di Padang Jawa pada 18 dan 19 Disember 2021. Gambar dirakam pada 25 Dis 2021 oleh DagangNews.com

 

 

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

SEMINGGU sudah bencana banjir besar melanda Selangor, keadaan beransur-ansur pulih dengan mangsa-mangsa membersihkan kekotoran dan membaiki kerosakan serta membuang barangan yang musnah.

 

Hampir seluruh lapisan masyarakat memberi bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Yang berkenderaan datang mengangkut barang bantuan, ada yang menolong membersihkan rumah dan juga wang tunai.

 

Kejutan yang berlaku pada 18 dan 19 Disember 2021 bila hujan turun sangat lebat selama 36 jam, pasti terpahat di dalam diri penduduk Lembah Klang yang tidak pernah mengalaminya. Satu catatan membandingkannya dengan banjir besar Kuala Lumpur 1971. Ini 50 tahun jaraknya!

 

Ramai pihak melepaskan kemarahan terhadap kerajaan yang didakwa `lambat bertindak’ bagi membantu mangsa. Malah Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengakui berlaku kelewatan dalam koordinasi antara agensi dalam operasi membantu dan menyelamat.

 

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) paling teruk dipersoal dan dikecam. Memburukkan keadaan bila ada pihak cuba `menjelaskan’ peranan NADMA yang dilihat tidak lebih daripada sekadar cubaan melepaskan tengkuk. Desakan supaya pengurusan NADMA dirombak semakin meninggi, termasuk memindahkannya ke Kementerian Pertahanan.

 

Merrepak tidak berminat mengulas mendalam sangat bab di atas tetapi yakin kepada resolusi yang sudah dan bakal diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam soal NADMA ini.

 

Beliau sedar isu `kelewatan bertindak’ menurunkan markah KPI kerajaan Keluarga Malaysia yang baharu meraikan 100 hari di pejabat, awal bulan ini.

 

Mereka yang gagal berfungsi harus dikenakan tindakan. Hendak menunggu sesiapa meletak jawatan secara sukarela, jarang berlaku di Malaysia. Jadi PM harus bertindak tegas. Bermula dengan NADMA.

 

PM

 

Kita yakin PM pasti bertindak seperti mana arahan beliau supaya semua menteri membatalkan percutian dan turun ke padang membantu rakyat yang ditimpa bencana, bukan sekadar retorik kerana Perdana Menteri pagi Ahad ini pun terus bekerja meninjau mangsa banjir di Pahang.

 

Rakyat Bantu Rakyat

Ketika pihak berkuasa lambat bergerak, jurang itu diisi oleh rakyat jelata yang sukarela turun membelah dan mengharungi banjir dengan kelengkapan ala kadar yang mereka ada.

 

Di Kampung Padang Jawa di Shah Alam, ketika air pasang pada 18 Disember lepas, keputusan pantas dibuat untuk memindahkan seberapa ramai penduduk yang boleh. Air naik hingga ke paras dada menenggelamkan kampung tersebut.

 

Sukarelawan Surau Platinum al-Mawaddah Seksyen 7 Shah Alam yang sememangnya sudah dikerah dari pagi, membantu mengangkut keluar mangsa-mangsa yang terdiri daripada keluarga dengan anak-anak kecil ke Dewan Kiambang Jalan Platinum yang ditukar menjadi Pusat Pemindahan Sementara.

 

Operasi tersebut tamat jam 4 pagi bila dewan itu sudah penuh dan tidak boleh menampung orang lagi.

 

Sukarelawan sebegini tidak sibuk menayangkan kerja mereka. Itu antara sebab bila Merrepak mintakan gambar kejadian, seorang pandang seorang tersengih sebab tiada siapa mengambil gambar peristiwa. Fokus ketika itu adalah menolong orang. Tiada masa hendak fikir apa hendak post dalam Facebook atau Instagram.

 

merrepak

 

merrepak

 

merrepak

 

merrepak

 

Positif riuh di Facebook

Tidak salah juga hendak post dalam media sosial kegiatan kebajikan. Satu faktor positif ialah ia akan menjadi daya tarikan, mendorong orang lain untuk turun sama membantu.

 

Media sosial jugalah membantu rakyat membuat keputusan turun padang menyumbang bakti. Rintihan dan kesulitan yang dibaca, ditonton pantas menarik orang lain menyalurkan bantuan. Ini sudut positif.

 

Tak positif riuh di Facebook

Yang tak positif ialah kerja kebajikan ini dijadikan medan riak. Cuma, siapa kita hendak jatuhkan orang sebagai riak? Tapi sendiri-sendiri fahamlah apa jenis posting riak, dengan yang tidak.

 

Sebenarnya, banyak sukarelawan telah aktif membantu menyalurkan bantuan di seluruh negara tanpa publisiti meluas. Bermula dengan pengumuman mengumpul dana atau barangan keperluan sesama kariah, tarikh misi ditetapkan dan konvoi bermula.

 

Semuanya dilakukan di dalam komuniti tanpa mengira ideologi politik. Dan misi itu pergi, selesaikan matlamat dan kembali dengan selamat. Paling tidak publisiti diuar-uar di dalam grup WhatsApp surau.

 

Dan ciri paling dikagumi ialah sukarelawan-sukarelawan sebegini komited kepada peranan dan tugas masing-masing tanpa mempedulikan hal-hal lain.

 

Tiada yang sibuk kemas kini Facebook cemuh sana-sini, guna bahasa kesat yang menyebabkan orang dapat mengesan wujud masalah dengan hati dan akal penulisnya.

 

merrepak

 

merrepak

 

merrepak

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, sertailah kumpulan sukarelawan yang bekerja jauh daripada Facebook atau apa sahaja media sosial. Insya-Allah anda tidak akan ada isu terasa hati atau benci.

 

Sebaliknya, anda akan puas hati bahawa sumbangan bakti anda mencapai hasrat yang anda harapkan. Tidak diganggu oleh benda-benda remeh atau sentimen yang dikuasai minda celaru.

 

Teruskan menyumbang bakti sukarelawan seikhlas-ikhlasnya, nescaya anda rasa ketenangan jiwa yang dijanjikan Tuhan, kerana tawakal bakti anda itu akan dibalas pahala besar oleh Tuhan.

 

Bukan LIKE di Facebook semata-mata.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Ku Cari Damai Di Hati oleh Moses Vadham berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.