Sukuk global cecah AS$715.2 bilion - Fitch Ratings | DagangNews Skip to main content

Sukuk global cecah AS$715.2 bilion - Fitch Ratings

 

 


KUALA LUMPUR 22 April - Sukuk tertunggak global mencecah AS$715.2 bilion pada suku pertama 2021, 3% lebih tinggi berbanding suku keempat 2020, menurut Fitch Ratings, seperti dilapor Bernama.

 

Firma penarafan itu dalam satu nota hari ini memberitahu terbitan sukuk dengan kematangan lebih daripada 18 bulan dari rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Malaysia, Indonesia, Turki dan Pakistan mencecah AS$9.9 bilion menjelang suku pertama, menyamai tahap pada suku keempat 2020.

 

 “Jumlah sukuk bertaraf Fitch mencecah AS$119.1 bilion pada akhir suku pertama 2021, dengan 80.7% adalah gred pelaburan dan selebihnya adalah gred spekulatif," katanya.

 

Menurut Fitch Ratings, momentum terbitan sukuk dijangka berterusan sepanjang 2021, disokong oleh selera pelabur yang kukuh serta usaha penerbit yang berminat untuk mempelbagaikan pembiayaan dan bagi memenuhi kematangan yang akan datang. 

 

“Walaupun harga minyak melonjak, kekurangan sokongan yang berkaitan pandemik dan pemulihan ekonomi boleh menyebabkan keperluan pembiayaan berdaulat yang lebih rendah, terbitan sukuk sekali sahaja atau tidak kerap dijangka menyokong jumlah 2021. 

 

"Pasaran sukuk juga terjejas oleh pasaran baru muncul dan trend global, termasuk kesan kenaikan hasil Perbendaharaan AS ke atas pasaran berpendapatan tetap," tambahnya.

 

Pada suku pertama 2021, Fitch Ratings menyatakan harga sukuk berbanding bon akan terus menormalkan ke tahap sebelum 2020. 

 

Fitch melihat 30 sukuk dan bon setanding daripada 10 penerbit dari rantau GCC, Malaysia, Indonesia dan Turki. 

 

Dalam keadaan pasaran biasa, harga mereka adalah sangat berkaitan, kata firma itu.
 

"Bagi tempoh 3 tahun hingga 5 Mac 2020, purata kelebaran antara mereka adalah rendah pada -11bp. Antara Mac dan Jun 2020, bagaimanapun, sukuk dijual pada diskaun yang lebih bawah berbanding bon," katanya. - DagangNews.com