Sulaiman dilantik sebagai Pengarah Urusan Cahya Mata Sarawak | DagangNews Skip to main content

Sulaiman dilantik sebagai Pengarah Urusan Cahya Mata Sarawak

KUCHING 9 Julai - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) melantik Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sebagai Pengarah Urusan (MD), berkuat kuasa Khamis.

 

Syarikat ini turut mengumumkan pelantikan semula Datuk Isaac Lugun sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas kumpulan, juga berkuat kuasa hari ini.

 

Pengerusi Kumpulan CMSB, Tan Sri Abdul Rashid Manaf, berkata hubungan rapat Sulaiman bersama syarikat itu dan pengalaman meluasnya dalam perniagaan adalah amat bernilai kepada kumpulan ketika ia sedang menyatu, menyeragam dan bergerak ke arah laluan pertumbuhan baharu pasca pandemik.

 

"Pelantikan (Sulaiman) adalah disebabkan persaraan awal MD kumpulan, Isaac Lugun yang dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.

 

Sulaiman berpengalaman luas dalam bidang perbankan, kewangan dan insurans selepas menjadi Pengerusi Eksekutif RHB Capital Bhd serta kumpulan syarikatnya.

 

Beliau turut mempengrusikan lembaga pengarah dan jawatankuasa termasuk Rashid Hussain Bhd, RHB Insurance Bhd, RHB Asset Management Bhd dan RHB Research Institute, selain menjadi ahli lembaga pengarah RHB Islamic Bank Bhd, RHB Sakura Bankers Bhd serta RHB Bank Bhd.

 

Sulaiman juga berpengalaman dalam bidang pembuatan, pembangunan hartanah dan pembrokeran saham, selain biasa dengan CMSB selepas berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di syarikat itu dari 1995 hingga 2008, termasuk sebagai pengerusi kumpulan dan pengarah eksekutif kumpulan.

 

Beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Samarahan pada 2008 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, sebelum ke luar negara untuk memantau pelnagai pelaburan persendirian sejak beberapa tahun lalu selepas menghabiskan penggal politiknya. - DagangNews.com