Sumbangan blok rantai My E.G. hanya dapat dilihat dalam jangka panjang - MIDF | DagangNews Skip to main content

Sumbangan blok rantai My E.G. hanya dapat dilihat dalam jangka panjang - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Usaha My E.G. Services Berhad untuk memperkenalkan penyelesaian blok rantai atau blockchain ke dalam perkhidmatannya hanya dapat menyaksikan sumbangan kewangan ketara dalam tempoh jangka panjang. 

 

Susulan itu, firma penyelidikan, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran kewangan ke atas kumpulan.

 

Sebagai rekod, My E.G. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Mydigitalcoin Sdn. Bhd. telah memeterai kerjasama dengan China’s Bubi Technologies Co., Ltd. (Bubi) untuk membina supernod berdasarkan platform blok rantai. 

 

“Kami positif terhadap kerjasama ini kerana ia dijangka melengkapkan pelbagai tawaran komersial My E.G. di dalam bidang imigresen, automotif serta perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kewangan.

 

“Dengan pembukaan semula ekonomi, kami menjangkakan perniagaan utama My E.G. seperti cukai jalan motosikal dan perkhidmatan cukai jalan pengangkutan lain akan meraih momentum semula. 

 

“Bersama-sama perkhidmatan utama ini, di mana berpotensi mengurangkan impak segmen penjagaan kesihatan pada tahun 2023, kami percaya usaha My E.G. untuk menceburi kerjasama blok rantai bukan sahaja mendatangkan sumbangan material kepada perolehannya dalam jangka panjang, tetapi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju perubahan teknologi di Malaysia,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Kerjasama tersebut bakal menyaksikan pembangunan teknologi blok rantai oleh Buby yang akan berlaku di luar China, termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas My E.G., tetapi harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.08 daripada RM2.16. 

 

MIDF positif terhadap prospek perniagaan jangka panjang My E.G. yang dipacu oleh pertumbuhan jumlah transaksi perkhidmatan kerajaan dalam talian selain pengembangan perniagaan berkaitan konsesi. 

 

Ketika laporan ditulis, harga saham My E.G. merosot 1.5 sen kepada 91.5 sen. - DagangNews.com