Sun Life Malaysia tawar Dana ESG berkaitan pelaburan – Pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sun Life Malaysia tawar Dana ESG berkaitan pelaburan – Pertama di Malaysia


KUALA LUMPUR  14 Okt – Dengan isu-isu berkaitan perubahan iklim serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang semakin hangat diperbincangkan, Sun Life Malaysia melancarkan dana ESG berkaitan-pelaburan yang dikenali sebagai Sun Life Malaysia Global Sustainable Fund, menjadikan mereka penyedia insurans pertama di Malaysia yang menawarkan pilihan pelaburan ESG kepada pemegang polisi menerusi produk insurans berkaitan-pelaburan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden/Ketua Negara bagi Sun Life Malaysia, Raymond Lew berkata,  pembangunan mampan adalah amat penting bagi kejayaan jangka masa panjang Sun Life dan agenda kelestarian syarikat menumpukan kepada tiga bidang utama – pelaburan lestari, keselamatan kewangan dan kehidupan yang lebih sihat.

 

“Di Sun Life Malaysia, kami sentiasa berusaha untuk menunjukkan kepimpinan melalui teladan.

 

‘’Dengan dana baharu bertemakan ESG ini, kami mengambil peranan sebagai pelopor dalam menjadikan pelaburan ESG mudah diakses dan mampu milik bagi rakyat Malaysia melalui produk insurans berkaitan-pelaburan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Raymond berkata, pihaknya berhasrat untuk membantu pelanggan mengubah pemikiran mereka iaitu melabur untuk pulangan pelaburan yang mampan.

 

‘’Dengan memberikan mereka pilihan tersebut, kami memperkasakan mereka untuk menyumbang ke arah pembentukan dunia yang lebih sihat, lebih mampan dari segi kewangan, dengan persekitaran yang sejahtera serta maju dari segi ekonomi,” ujarnya.

 

Sun Life Malaysia Global Sustainable Fund merupakan satu usahasama antara Sun Life Malaysia dan Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd.

 

Dana berkaitan-pelaburan tersebut melabur dalam dana amanah saham yang ditawarkan oleh Nomura Asset Management Malaysia.

 

Ia direka untuk menyediakan peluang bagi para pelanggan daripada semua segmen untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), di samping memastikan perlindungan serta keperluan kewangan mereka sentiasa terjaga melalui pelan insurans berkaitan-pelaburan.

 

Para pelanggan boleh memilih untuk melabur dalam dana lestari ini apabila mereka membeli produk berkaitan-pelaburan yang terpilih melalui saluran-saluran bancasurans  dan agensi, seperti SunLink Max, Sun Invest, Sun Income Secure Max; serta Sun Shield Link dan terbaharu Sun Prestige Life yang akan dilancar pada penghujung bulan ini.

 

Pelaburan mampan yang merujuk kepada integrasi factor ESG dalam proses pemilihan pelaburan dan pembinaan portfolio, semakin berkembang pesat di Asia.

 

Hakikatnya, pandemik telah meningkatkan kadar pendaftaran pelaburan ESG hasil daripada peningkatan kesedaran tentang isu-isu berkaitan tingkah laku korporat, ketahanan perniagaan dan isu-isu kemampanan yang lebih luas.

Di samping itu, kejadian peristiwa berkaitan-perubahan iklim sejak dua tahun lalu telah meningkatkan tumpuan kepada isu-isu ESG. – DagangNews.com