Sunway Construction catat hasil Q4, RM627.2 juta | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction catat hasil Q4, RM627.2 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. -  Sunway Construction Group Berhad menyaksikan hasil suku keempat berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) melonjak 29.1% tahun ke tahun kepada RM627.2 juta daripada RM485.9 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan itu turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.7% tahun ke tahun kepada RM41.6 juta berbanding RM40.5 juta.

 

Sunway Construction dalam sebuah kenyataan memberitahu, segmen pembinaan mencatatkan hasil sebanyak RM585.0 juta, melonjak daripada RM440.5 juta, sementara PBT pula menyusut daripada RM38.0 juta kepada RM37.3 juta.

 

“Hasil yang lebih tinggi dicatatkan kumpulan syarikat didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen pembinaan ekoran pengiktirafan untuk akaun akhir dan peningkatan kemajuan pembinaan.

 

“Margin gabungan kumpulan syarikat pada suku semasa lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh penyesuaian MFRS 9 yang berhemah, menghasilkan kesan bersih RM5.5 juta.

 

Segmen precast mencatatkan hasil RM42.2 juta dengan PBT sebanyak RM4.3 juta berbanding pendapatan dan PBT masing-masing sebanyak RM45.4 juta dan RM2.5 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya,” jelas Sunway Construction.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Chung Soo Kiong berkata, kumpulan syarikat berkenaan akan terus memperkembangkan penapakan di pasaran luar negara serta menumpukan projek perancangan dalaman oleh Kumpulan Sunway bagi pembangunan yang mampan.

 

“Dalam pada itu, kami juga secara aktif memperluas ke dalam sektor tenaga dengan menumpukan pada projek solar dan sistem penyejukan daerah.

 

“Setakat ini, kami telah memperoleh RM366 juta tempahan di mana RM252 juta daripadanya merupakan pembangunan dalaman dan RM114 juta daripada bahagian precast kami,” katanya dalam kenyataan sama.

 

Beliau dalam masa sama tidak menafikan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini mengganggu sedikit operasinya di peringkat awal memandangkan kumpulan syarikat itu secara sukarela mahu meminimumkan aktiviti di tapak operasi.

 

Susulan daripada pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditingkatkan, Soo Kiong berkata, operasinya telah berkurang kepada 80% daripada kapasiti penuh.

 

“Proklamasi Darurat dan PKP 2.0 mungkin menangguhkan pemulihan sektor pembinaan buat sementara waktu.

 

“Kami kekal positif terhadap prospek sektor pembinaan didorong oleh peruntukan sebanyak RM15 bilion yang didedahkan pada pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini dan pengesahan semula projek infrastruktur besar seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang,” ujarnya lanjut. – DagangNews.com