Sunway, Yayasan AIDS Malaysia sumbang bantuan keperluan asas kepada 20,000 golongan B40 | DagangNews Skip to main content

Sunway, Yayasan AIDS Malaysia sumbang bantuan keperluan asas kepada 20,000 golongan B40

Penaung Teratak Kasih Tok Nan (TKTN), Datuk Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu (dua dari kanan) dan Pengurus Besar CSR, Penjenamaan Dalaman dan Acara, Pemasaran dan Komunikasi Jenama Kumpulan Sunway, Bernard Paul (kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima di TKTN.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SUBANG JAYA 13 Mei - Sunway bekerjasama dengan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dalam menjayakan inisiatifnya, #SunwayforGood Raya Cheer, yang menyaksikan hampir 20,000 benefisiari dalam kalangan segmen B40 menerima bantuan keperluan asas.

 

Jalinan kerjasama antara Sunway-MAF menyasarkan bantuan barangan dapur, keperluan asas dan bantuan kewangan kepada ratusan keluarga yang terjejas dengan HIV/AIDS di seluruh Malaysia. 

 

Kerjasama jangka masa panjang itu juga membantu golongan B40 yang hidup dengan HIV (PLHIV) di Sabah dan Sarawak menerusi Program Jangkauan Bantuan Kesihatan Sunway untuk Semua (HOPE).

 

Naib Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M. Hashim berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) merupakan sebahagian daripada DNA pihaknya, dan inisiatif #SunwayforGood telah memanfaatkan lebih setengah juta benefisiari sejak ia dimulakan pada tahun 2017. 

 

"Tahun ini, sejajar dengan usaha menjadi lebih inklusif, kami telah menjalin kolaborasi jangka panjang bersama Yayasan AIDS Malaysia. 

 

"Setiap program di bawah inisiatif #SunwayforGood adalah peluang untuk kami mendekati lebih banyak keluarga yang memerlukan bantuan. Ia merupakan janji kami untuk terus cuba sedaya upaya melakukan segala yang mampu bagi meneraju perubahan dalam kehidupan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas mengenai sumbangan Sunway, Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, yayasan amat terharu dengan keprihatinan Kumpulan Sunway terhadap komuniti terpinggir yang hidup dengan HIV (PLHIV). 

 

 

sunway
Pengurus Besar Sunway Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari (dua dari kanan) mengagihkan sumbangan barangan asas kepada komuniti di Kampung Sg Choh, Perak.

 

 

sunway
Anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting, Selangor turut menerima bantuan barangan persekolahan dan Aidilfitri daripada Penaung Program Kita Bantu Selangor Youth Community (SAY), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kerjasama Kumpulan Sunway.

 

"Usaha menangani isu mengisi kekurangan mereka adalah penting terhadap misi kami untuk membanteras penularan jangkitan AIDS, di samping sejajar dengan matlamat kami untuk mencetus tindak balas yang lebih mampan terhadap epidemik. 

 

"Oleh itu, kami teruja meneroka usahasama berterusan bersama Sunway agar meningkatkan akses kepada ubat antiretroviral untuk pesakit yang kurang bernasib baik daripada segi ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak," katanya.

 

Kerjasama antara Sunway dengan MAF bermula pada Disember 2021, yang mana Sunway turut serta sebagai Rakan Kongsi Kelestarian Rasmi MAF. 

 

 

sunway
Tan Sri Razman M. Hashim (dua dari kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada seorang kanak-kanak di Masjid Al-Husna di Selangor

 

 

sunway
Kumpulan Sunway menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada penerima B40 di at Surau Nur Hidayah Kampung Jalan Tengah, Pulau Pinang.

 

Matlamat kerjasama tertumpu pada penganjuran Majlis Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah Sunway-MAF yang diadakan secara tahunan bersama sokongan jangka panjang Sunway terhadap projek utama MAF yang menghulurkan perkhidmatan kepada golongan masyarakat kurang bernasib baik yang menghidapi HIV di Sabah dan Sarawak.

 

Sejak dilancarkan, #SunwayforGood telah memanfaatkan kehidupan lebih setengah juta benefisiari, dan menyasar untuk memberi impak positif terhadap berjuta lagi benefisiari di seluruh negara menjelang sambutan Jubli Emas ulang tahun ke 50 penubuhan Sunway pada 2024, berdasarkan penekanan nilai teras Sunway serta komitmen bermatlamat. - DagangNews.com