Super kartel rokok seludup rosakkan ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Super kartel rokok seludup rosakkan ekonomi negara

Kartel rokok seludup

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 April - Kewujudan kartel rokok seludup yang melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang dilihat memberi kesan buruk kepada landskap ekonomi negara.

 

Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai yang hilang akibat penyeludupan rokok haram.

 

"Hasil daripada perdagangan haram ini diraih oleh kartel-kartel adalah lebih daripada cukup untuk melahirkan `super kartel’ yang membabitkan agensi penguatkuasaan. 

 

"Mereka tidak ada masalah untuk melantik peguam mewakili mereka di mahkamah dan membayar denda jika mereka ditangkap menyeludup kontraban.

 

"Super kartel ini diperlukan kerana kartel dagangan rokok seludup di Malaysa membabikan rantaian nilai yang sangat sofistikated, berskala besar dan mendalam, yang merangkumi pengilangan antarabangsa, import, pengangkutan, gudang simpanan, pengedaran, peruncitan dan eksport," katanya dalam satu kenyataan.

 

Akhbar Satar
Akhbar Satar

 

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan berkaitan pengoperasian kartel dalam kalangan pelbagai agensi penguatkuasaan Malaysia. 

 

Kartel-kartel berkenaan didakwa membantu pelbagai aktiviti jenayah daripada pengubahan wang haram sehinggalah kepada manipulasi tender projek.

 

Beliau yang juga pemegang kursi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi, HELP University memberitahu, pendedahan mengenai kewujudan kartel yang beroperasi dalam agensi penguatkuasaan sepatutnya menyedarkan kita semua dari lena. 

 

Menurutnya, perkara itu jelas menunjukkan betapa mendalam dan teruknya penyusupan penjenayah ke dalam institusi awam yang sepatutnya menegakkan undang-undang dan keamanan.

 

"Kartel-kartel yang dibongkar itu secara relatifnya hanya `ikan kecil’ berbanding kartel rokok seludup yang beroperasi di Malaysia. 

 

"Bertahun-tahun lamanya kartel rokok seludup menjadi semakin berani dan telah mencipta modus operandi baharu untuk merasuah pegawai penguatkuasaan yang tiada etika bagi melindungi jejak mereka.

 

"Meskipun tidak semua pegawai penguatkuasaan boleh dibeli, kartel rokok seludup ini bersedia untuk melakukan apa sahaja termasuk menggunakan ugutan bagi mempengaruhi sesiapa sahaja untuk tunduk kepada kemahuan mereka," jelas beliau lagi.

 

Menyentuh berkaitan cara penyelesaian isu berkenaan, beliau berkata, kes berkenaan hendaklan dihentikan segera melalui peningkatan operasi dan perubahan dasar.

 

Jelasnya, sistem penggiliran kakitangan yang berkesan perlu diwujudkan di kawasan rasuah tinggi seperti pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan darat. 

 

.

 

"Adalah penting untuk memastikan bahawa individu yang ditugaskan memikul tugas khusus itu adalah benar-benar jujur bagi menguatkuasakan undang-undang dan harus dipantau secara berterusan.

 

"Malah, program pendidikan bagi mewujudkan kesedaran dan mengingatkan semua lapisan rakyat mengenai masalah rasuah hendaklah dilaksanakan. 

 

"Kerajaan juga seharusnya melihat kepada kaedah menambah baik kemudahan teknologi canggih seperti pengimbas paling terkini dan CCTV di tempat keluar masuk yang disyaki," tambahnya.

 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, usaha menamatkan jenayah berkenaan turut dilihat dalam perspektif polisi.

 

Ujarnya, polisi yang memperkasa agensi penguatkuasaan menggalakkan pegawai melaksanakan tugas dengan bermaruah dan tanpa takut sekali gus menghalang petualang.

 

"Malaysia tidak mampu kehilangan satu sen lagi kerana kita memerlukan duit untuk memulihkan negara daripada situasi ekonomi semasa.

 

"Lagi pun, dengan sekadar persepsi wujud super kartel beroperasi di negara kita akan mengurangkan hasrat negara luar dan syarikat asing untuk berdagang dengan Malaysia," katanya lagi. - DagangNews.com