KUALA LUMPUR 14 Feb - Supermax Corp Bhd. membatalkan cadangan untuk memperoleh 2 bidang tanah pegangan bebas daripada anak syarikat SP Setia Bhd., Bandar Setia Alam Sdn. Bhd. dengan tunai RM73.49 juta.
Ini berikutan kegagalannya mendapatkan kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengetepikan 30% syarat pemilikan ekuiti bumiputera sebelum pemindahan hak milik tanah itu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Supermax berkata, cadangan pengambilalihan ini tertakluk kepada kelulusan EPU untuk pemindahan pemilikan tanah jika Maxter memenuhi 30% pemilikan ekuiti bumiputera.
"Pada 24 Mei 2021, Maxter telah mengemukakan rayuan untuk mengetepikan syarat kelulusan EPU, tetapi telah diltolak pada 15 Disember 2021.
"Berdasarkan perkara di atas, Maxter telah memohon penamatan SPA mengikut Klausa 2A.4 SPA di mana ia ditetapkan bahawa pembeli berhak untuk menamatkan SPA jika syarat EPU selepas rayuan tidak diterima oleh pembeli," jelasnya hari ini.
Pada 21 September 2020, Supermax menerusi Maxter memeterai perjanjian jual beli dengan Bandar Setia Alam untuk membeli 2 bidang tanah berukuran kira-kira 1.99 hektar (hampir 4.962 ekar) di Bukit Raja.
Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu merancang untuk membina ibu pejabat operasi bagi anak syarikat milik penuhnya, Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd. di kawasan tersebut yang terletak di Setia Alam, Selangor.
Susulan penamatan itu, kumpulan berkata, jumlah bayaran balik deposit termasuk duti setem telah diterima dengan sewajarnya oleh Supermax pada 27 Januari dan kaveat ke atas tanah itu ditarik balik berkuat kuasa 31 Januari.
"Penamatan ini tidak memberi kesan material kepada pendapatan sesaham kumpulan, aset bersih sesaham dan gearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022," jelasnya. - DagangNews.com