Supermax bina kilang pengeluaran pertama di AS, labur AS$350 juta untuk Fasa 1 | DagangNews Skip to main content

Supermax bina kilang pengeluaran pertama di AS, labur AS$350 juta untuk Fasa 1

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Supermax Corp. Bhd, merancang untuk melabur sebanyak AS$350 juta bagi membangunkan fasa pertama kemudahan pengeluaran di Amerika Syarikat (AS).

 

Projek tersebut akan menjadi kilang pengeluarannya yang ke-18 di seluruh dunia dan pertama di negara tersebut.

 

Terletak di kawasan seluas 215 ekar di Brazoria County, Texas, cadangan pembinaan itu akan dilaksanakan anak syarikatnya di AS, Master Healthcare Inc., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pembinaan fasa pertama akan bermula suku pertama 2022 dan dijangka memulakan pengeluaran pada suku keempat tahun hadapan.

 

Ia terdiri daripada ibu pejabat pengeluaran Amerika Utara kumpulan itu, pusat penyelidikan dan pembangunan, pusat dagangan dan kemudahan pekerja.

 

Kemudahan pengeluaran yang mempunyai 4 fasa itu dijangka mengeluarkan 400 juta sarung tangan getah setiap bulan bagi setiap fasa. 

 

Apabila kesemua fasa itu selesai, kapasiti pengeluaran akan meningkat sehingga 1.6 bilion sarung tangan getah setiap bulan, atau 19.2 bilion setahun. 

 

Sebelum ini, Lembaga Pengarah Supermax telah meluluskan perbelanjaan modal (capex) sebanyak AS$550 juta bagi tujuan pelaburan ini.

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Stanley Thai berkata, kilang pengeluaran ini akan dilengkapi dengan keupayaan bertaraf dunia seperti automasi, kejuruteraan robotik dengan kecerdasan pintar (AI) dan Revolusi Perindustrian 4.0. 

 

"Kemudahan ini juga akan memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa air," katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Supermax Healthcare Inc., CK Tan berkata, apabila beroperasi kelak, kemudahan pengeluaran itu akan mengukuhkan rangkaian bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) di AS. 

 

Katanya, ia mampu memenuhi sekurang-kurangnya 10 hingga 15% daripada jumlah import tahunan sarung tangan getah ke AS dalam tempoh 2 hingga 4 tahun akan datang. 

 

"Dengan peningkatan kapasiti ini, kami mampu memenuhi 20 hingga 25% daripada permintaan dan penggunaan di AS bagi tempoh 4 hingga 6 tahun akan datang," katanya.

 

Supermax Healthcare juga merupakan anak syarikat Supermax yang berpangkalan di AS. - DagangNews.com