Supermax dijangka sertai indeks KLCI - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Supermax dijangka sertai indeks KLCI - CGS CIMB

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Supermax Corp. Bhd. dijangka menyertai indeks FBM KLCI buat kali pertama, bagi menggantikan KLCCP Stapled Group memandangkan ia sebelumnya berada di kedudukan paling rendah dalam kalangan 30 KLCI berdasarkan pasaran modal setakat 23 November 2020.  

 

CGS-CIMB berkata, berdasarkan harga saham yang berakhir semalam, kedudukan Supermax meningkat ke kedudukan ke-24 dan memenuhi syarat untuk menyertai indeks tersebut. 

 

"FTSE Russell akan mengumumkan keputusan hasil tinjauan separuh tahun mengenai FTSE Bursa Malaysia Index Series pada 3 Disember ini. 

 

"Ia dijangka menggunakan data permodalan pasaran urus niaga yang ditutup pada 23 November. Sebarang perubahan dalam komponen akan berkuat kuasa 21 Disember," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, komponen KLCI semasa merangkumi 58% daripada permodalan pasaran setakat 30 Oktober 2020. 

 

Semakan ini diikuti oleh pasaran dengan teliti kerana boleh memberi kesan pada produk berkaitan indeks KLCI seperti dana berkaitan indeks FTSE 30 ETF dan KLCI.

 

Jelas CGS-CIMB, berdasarkan 60 syarikat korporat di bawah liputannya yang membuat laporan kewangan bagi suku ketiga, didapati 37% daripadanya merekodkan keputusan melebihi jangkaan, berbanding suku kedua, 25%. 

 

"Keputusan prestasi kewangan bagi suku berkenaan sangat memberangsangkan memandangkan kebanyakan pendapatan syarikat kembali meningkat ekoran pembukaan semula ekonomi selepas perintah kawalan pergerakan pada suku kedua," katanya. 

 

Firma itu berkata, syarikat-syarikat seperti sarung tangan getah, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan petrokimia menunjukkan keputusan yang sangat baik setakat ini. 

 

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan memandangkan 54% atau lagi 70 syarikat di bawah liputannya belum merekodkan laporan kewangan yang hanya berbaki lagi 6 hari urus niaga. 

 

"Namun, pendapatan mungkin menurun pada suku keempat apabila kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi mengekang lonjakan kes COVID-19. 

 

"Keadaan ini akan menyebabkan perbelanjaan yang lemah dalam kalangan pengguna," katanya. 

 

CGS-CIMB mengunjurkan indeks FBM KLCI akan berlegar sekitar 1,520 mata menjelang akhir tahun ini dengan mengambil kira musim laporan kewangan syarikat. - DagangNews.com