Supermax, Kossan dijangka tersenarai dalam 30 syarikat teratas KLCI | DagangNews Skip to main content

Supermax, Kossan dijangka tersenarai dalam 30 syarikat teratas KLCI

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Saham syarikat pengeluar sarung tangan, Supermax Corporation Berhad (Supermax) dan Kossan Rubber Industries Berhad (KRI) dijangka tersenarai dalam indeks 30 syarikat teratas (konstituen) di KLCI.

Pencapaian itu tidak mustahil sekiranya mereka mengekalkan kedudukan dalam senarai modal pasaran teratas sehingga tarikh kajian semula konstituen KLCI menjelang 23 November 2020. 

CGS-CIMB Research melaporkan, senario itu juga bakal menyaksikan keempat-empat syarikat sarung tangan termasuk Top Glove Corporation Berhad dan Hartalega Holdings berjaya tersenarai dalam indeks berkenaan buat pertama kali dalam sejarah. 

“Dalam senario ini, dua konstituen terendah dalam indeks berkenaan akan terkeluar. Berdasarkan penutupan KLCI pada 7 Ogos, Genting Malaysia Berhad dan Kumpulan KLCCP Stapled (KLCCP) merupakan dua konstituen KLCI terbawah,” jelas analisis CGS-CIMB.

Berdasarkan harga saham, modal pasaran Supermax berada di kedudukan ke-16, manakala KRI pula di kedudukan ke-21 dengan jumlah keseluruhan modal pasaran konstituen KLCI mencatat nilai 60.1%  setakat 6 Ogos lalu. 

Pasaran moda

Sekiranya KLCCP dan Genting Malaysia tidak tersenarai dalam konstituen KLCI menjelang November nanti, indeks itu tidak lagi akan menyaksikan penglibatan sektor hartanah.

Antara kesemua konstituen, Kumpulan Genting, Kumpulan CIMB dan Genting Malaysia menunjukkan penurunan modal pasaran terbesar sejak tarikh kajian semula KLCI pada 22 Mei lalu. 

Tiga syarikat yang menunjukkan prestasi terbaik adalah Top Glove, Hartalega dan Kumpulan Dialog Berhad.

Top Glove dan Hartalega menyaksikan lonjakan harga saham ketara memandangkan kedua-duanya mendapat sambutan menggalakkan ketika penularan COVID-19. 

Ketika ini, harga pasaran saham syarikat pengeluar sarung tangan terutamanya Top Glove dan Hartalega menjadi penggerak utama kepada paras KLCI. 

“Pertama, prestasi harga saham meningkatkan nilai tinggi Top Gove dan Hartalega di KLCI kepada 14.6% setakat 20 Julai lalu. Secara keseluruhannya, nilai tinggi sektor penjagaan kesihatan di KLCI meningkat sebanyak 11.4% sepanjang tujuh bulan lalu. 

“Semakin meningkat nilai tinggi syarikat pengeluar sarung tangan di KLCI, semakin menurun nilai bagi institusi perbankan, Genting, Genting Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com