Skip to main content

Suram, tetapi ada cahaya di hujung terowong - IATA

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Sektor penerbangan masih kekal suram buat masa ini walaupun aliran tunai syarikat penerbangan boleh dilihat kembali positif, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). 

 

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac berkata, ini kerana lebih banyak kawalan ketat semakin dilaksanakan setelah sektor penerbangan mendapat rangsangan daripada cuti hujung tahun lalu. 

 

Kerajaan dalam masa sama, katanya, mengambil langkah segera dengan mengetatkan kawalan sempadan ekoran merebaknya mutasi wabak COVID-19. 

 

Negara-negara seperti Kanada, United Kingdom (UK), Jerman dan Jepun turut meningkatkan ujian terhadap langkah-langkah menangani pandemik ini tanpa mengeluarkan keperluan kuarantin. 

 

"Dalam erti kata lain, mereka telah memilih langkah-langkah yang akan menamatkan perjalanan.

 

"Langkah ini menyatakan bahawa kerajaan tidak berminat untuk mengambil pendekatan seimbang dalam menguruskan risiko COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

IATA sebelum ini menganggarkan sektor penerbangan pada 2020 dijangka merekodkan kerugian bersih sebanyak AS$118.5 bilion, meningkat lebih tinggi berbanding unjuran Jun lalu, AS$84.3 bilion. 

 

Bagi 2021 pula, ia diunjur meningkat lebih sekali ganda pada AS$38.7 bilion berbanding unjuran awal, AS$15.8 bilion sebelum itu dengan jangkaan separuh kedua akan menunjukkan prestasi yang lebih baik. 

 

Sementara itu, Ketua Ekonomi IATA, Brian Pearce berkata, kadar tempahan mula menunjukkan trend peningkatan pada suku keempat 2020 tetapi kemudiannya berubah pada akhir Disember hinggalah pada minggu pertama tahun ini. 

 

"Tempahan awal semakin lemah apabila memasuki suku pertama 2021, dan keadaan ini dijangka semakin memburuk sebelum ia kembali pulih," katanya. 

 

Menurut beliau, pada suku pertama tahun ini, tempahan dijangka menyusut 75% pada Januari diikuti Februari (82%) dan Mac (81%). 

 

Data IATA menunjukkan, kadar tempahan sudah menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan sejak suku keempat lagi dengan menyusut 71% pada Oktober, 81% (November) dan 80% (Disember). 

 

"Kami melihat penurunan mendadak dalam tempahan, dan ini bermakna prospek dalam masa terdekat ini sangat mencabar," katanya. 

 

Kebanyakan pasaran perjalanan antarabangsa pada awal Januari 2021 menunjukkan perubahan yang kecil berbanding paras rendah yang direkodkan April lalu.

 

Pierce melihat pada ketika prestasi pasaran global kewangan menyatakan 'pandemik ini telah berakhir', IATA tidak bersetuju. 

 

"Kita boleh melihat ada cahaya di hujung terowong tetapi ia masih jauh dan situasi ini akan menjadi lebih buruk terlebih dahulu," katanya. 

 

IATA menjangkakan industri penerbangan akan mencatat aliran tunai yang positif tahun ini tetapi sekurang-kurangnya tidak sehingga suku keempat apabila pelancaran vaksin COVID-19 secara berperingkat memberi keyakinan kepada kerajaan untuk membuka semula pasaran. - DagangNews.com