Sushi King dijangka pacu pertumbuhan Texchem Resources pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Sushi King dijangka pacu pertumbuhan Texchem Resources pada FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 11 Mei - Pemulihan operasi Sushi King dijangka memacu pertumbuhan Texchem Resources Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22). 

 

Sushi King merupakan rangkaian restoran Jepun pertama yang menjual sushi berkonsepkan kaiten pada 1990-an dan kekal sebagai rangkaian restoran Jepun terbesar dengan 121 cawangan di Malaysia.

 

Menurut RHB Research, dengan menumpukan kepada pasaran secara besar-besaran dan memiliki sijil halal, ia bersedia untuk pulih dengan kukuh dalam FY22 (setelah mengalami kerugian pada FY21), berikutan inisiatif rasionalisasi kos dan kesesuaian sejak beberapa tahun lalu

 

Katanya, dengan memiliki infrastruktur dan sumber yang kukuh, unit restoran ini seharusnya dapat melaksanakan strategi pertumbuhan yang tertumpu (kiosk dan satelit) dengan pantas.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Texchem Resources bersedia untuk kembali ke zaman kegemilangannya dengan unjuran pertumbuhan sebanyak 68% dalam FY22, didorong oleh jangkaan pemulihan Sushi King, segmen makanan yang lebih baik.

 

"Pada masa sama, prestasi yang semakin meningkat ini disumbangkan daripada kedua-dua segmen kejuruteraan industri dan polimer," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sebagai penyelesaian penyumberan dan pengedaran bersepadu untuk pelbagai jenis bahan kimia, unit perindustrian kumpulan berkemungkinan akan mengalami peningkatan yang lebih baik apabila aktiviti pembuatan disambung semula. 

 

Dengan harga komoditi yang tinggi, ia akan terus mencatatkan jumlah yang kukuh seiring dengan pertumbuhan volum jualan. 

 

Sementara itu, segmen makanan sepatutnya membuahkan hasil positif daripada perubahan strategi untuk memberi fokus kepada kekuatan dalam produk keluaran sendiri, penjenamaan dan menamatkan
secara berperingkat perniagaan perdagangan margin rendah.

 

RHB Research menyifatkan penilaian semasa 8.3x FY22F nilai perusahaan (PE) ialah tahap yang sangat menarik untuk membeli sebuah syarikat yang terbukti dengan kepelbagaian perniagaan dan stabil, yang akan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi dan transformasi perniagaan.

 

Ini membolehkan firma itu meletakkan nilai wajar (FV) Texchem Resources pada RM4.46 sesaham. 

 

Menurutnya, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 130% bagi FY20 hingga FY23, kesemua segmen perniagaan dijangka membuahkan hasil yang positif daripada pengembangan margin.

 

Katanya, ini memandangkan struktur kos yang lebih kecil dan perubahan dalam strategi untuk memfokuskan kepada lebih banyak perkhidmatan dan produk nilai tambah.

 

"Tambahan pula, harga pemerolehan RM102.2 juga bagi tambahan 28% pegangan dalam Sushi King membayangkan penilaian sebanyak RM365 juta.

 

"Ia sudah menyamai permodalan pasaran semasa kumpulan, dengan nilai sifar yang diberikan kepada baki industri, kejuruteraan polimer dan perniagaan makanan," jelasnya. 

 

Setakat 11.46 pagi ini, harga saham Texchem Resources menokok 9 sen atau 3.26% kepada RM2.85 dengan 910,000 saham diniagakan. - DagangNews.com