Skip to main content

Susun semula sistem cukai pendapatan mampu merancakkan ekonomi negara

Oleh Dr MOHD HAFIZ BAKAR

 

 

SUDAH tiba masanya kerajaan mengambil langkah drastik dengan menyusun semula sistem cukai pendapatan untuk merancakkan ekonomi negara.

 

Tidak dinafikan hasil kutipan cukai merupakan sumber pendapatan negara dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

 

Di Malaysia, cukai pendapatan menyumbang lebih 50% kepada Bajet Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun, manakala cukai tidak langsung pula menyumbang sekitar 25% hingga 30%.

 

Walaubagaimanapun, berdasarkan perkembangan ekonomi semasa, kerajaan perlu meneliti dan menyusun kembali sistem cukai pendapatan agar rakyat dan negara dapat bangkit kembali dari segi ekonomi dan sosial.

 

Menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), cukai pendapatan hanya dibayar dan dikenakan kepada mereka yang layak sahaja dan ia akta utama yang menggariskan peruntukan dan panduan pengurusan cukai pendapatan di Malaysia.

           

Bagi cukai pendapatan individu, mulai Tahun 2015, individu yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

 

Manakala bagi cukai pendapatan syarikat modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta, sebanyak 17% dikenakan untuk pendapatan RM600,000 yang pertama dan 24%  dikenakan bagi pendapatan yang seterusnya.

 

Sejak kerajaan memperkenalkan Fasa Peralihan Negara (PPN) mengikut penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, banyak sektor perniagaan dibuka dan memberi impak positif kepada pemulihan ekonomi negara.

 

Kerajaan perlu mengambil peluang ini dengan menggalakkan rakyat berbelanja secara berhemah dengan menyusun semula sistem cukai pendapatan terutamanya bagi golongan yang berpendapatan sederhana.

           

Jika dilihat dari segi perbelanjaan harian, golongan M40 merupakan antara yang menyumbang kepada kegiatan ekonomi yang aktif dengan kecenderungan berbelanja.

 

Secara permulaan, bagi Tahun Taksiran 2021, kerajaan boleh menaikkan sedikit pendapatan tahunan yang dikenakan cukai daripada RM34,000 kepada RM60,000.

 

Ia akan dapat memberikan lebihan tunai kepada golongan yang berpendapatan sederhana tadi untuk terus merancakkan ekonomi negara seperti berbelanja atau melancong dalam negara bila pembukaan sempadan negeri dibenarkan.

 

Selain itu, bagi syarikat modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta, kerajaan boleh menetapkan untuk mengenakan cukai sebanyak 14% untuk pendapatan RM600,000 yang pertama dan 20% bagi pendapatan yang seterusnya.

 

Secara khusus lagi, kerajaan boleh memfokuskan memberi pengurangan cukai ini kepada perniagaan yang betul-betul terjejas akibat kesan COVID-19 seperti perniagaan yang melibatkan pelancongan dan perkhidmatan.

 

Ini dapat menstabilkan kembali tahap kewangan perniagaan mereka yang terjejas serta membantu mereka membuat perancangan yang teliti dengan lebihan tunai yang mereka peroleh hasil daripada pengurangan cukai ini.

 

Hasil pendapatan negara tidak akan terjejas kerana negara masih mempunyai pendapatan daripada cukai tidak langsung yang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pendapatan kerajaan negeri melalui cukai taksiran dan tanah yang dikutip oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri.

 

Penyusunan semula sistem cukai pendapatan ini boleh dibuat secara jangka pendek untuk mengembalikan kerancakan ekonomi negara sehingga pulih kembali seperti sebelum wabak COVID-19 melanda negara. – DagangNews.com

 

 

Dr Mohd Hafiz bin Bakar adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.