'Syabas Anak Muda', PM bangga Syarifuddin juara CEV Moto3 Remaja Dunia | DagangNews Skip to main content

'Syabas Anak Muda', PM bangga Syarifuddin juara CEV Moto3 Remaja Dunia

Pelumba negara, Syarifuddin Azman.

Pelumba negara, Syarifuddin Azman.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - 'Syabas Anak Muda, Tahniah Malaysia', tulis Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di halaman Facabook rasmi beliau hari ini.

 

Hantaran yang dibuat itu sebagai tanda ucapan tahniah susulan kejayaan bermakna pelumba negara, Syarifuddin Azman yang muncul juara dalam saingan CEV Moto3 Remaja Dunia semalam.

 

Muhyiddin berkata, sifat keazaman dan keberanian pastinya meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.

 

"Saya cukup berbangga dan gembira apabila dimaklumkan anak muda Malaysia, Syarifuddin Azman berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona, Sepanyol, semalam. 

 

"Sudah pasti hanya keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.

 

"Tahniah Syarifuddin dan seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan yang membanggakan negara ini," katanya dalam hantaran berkenaan.

 

.

 

Dalam pada itu, beliau turut memberi suntikan semangat kepada Syarifuddin untuk meneruskan usaha bagi menggapai kejayaan yang lebih gemilang dalam pertandingan mendatang.

 

Syarifuddin yang lebih dikenali dengan gelaran Damok berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat.

 

Kepantasan tersebut sekali gus meletakkan pelumba tuan rumah, David Munoz Rodrigues di kedudukan kedua dengan catatan masa 29:32.715.

 

Tempat ketiga pula menjadi milik Jose Antonio Rueda Ruiz yang juga dari Sepanyol dengan jumlah catatan masa 29.32.825s.

 

Kejayaan manis yang diraih Syarifuddin itu menjadi sejarah bermakna negara apabila Malaysia berjaya menguasai pentas CEV buat pertama kalinya.

 

Kejuaraan tersebut secara tidak langsung membolehkan Syarifuddin menempatkan diri di kedudukan keenam keseluruhan dengan 30 mata selepas tiga pusingan. - DagangNews.com