Syarat jadi setiausaha Arab mesti bujang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 7 January 2021

Syarat jadi setiausaha Arab mesti bujang

 

 

SELEPAS peristiwa itu, sekali lagi mesyuarat ahli lembaga pengarah Dubai Internet City dipanggil. Saya sudah bersedia dengan laporan. Memang cukup memberangsangkan dan menguja.

 

Kesilapan dalam mesyuarat yang pertama telah dibaiki. Saya memadam semua versi yang saya buat dan hanya menggunakan versi terkini. Hamed beberapa kali memeriksa agar kesilapan tidak berulang.

 

Hamed Kazim gembira bila pertanyaan ahli lembaga pengarah menjuruskan kepada langkah yang perlu diambil. Dubai Internet City dalam setahun jagung telah menguntungkan. Satu perkara yang mustahil.

 

Mohamed Gergawi menepuk bahu. Saya teringat pertama kali Mohamed berjumpa saya dia membuat lawak.

“We have the same name!”

 

Saya terkejut sebab saya biasa dengan Fudzail. “Your name is Mohamed, like my name!”

 

BACA : CEO Dubai Internet City Mengamuk

 

Saya tergelak. Orang Melayu selalu memberi nama Mohamad diiikuti nama kedua. Seperti saya, Mohamad Fudzail walau saya tidak pernah gunakan Mohamad. Saya pun selalu lupa penggunaan nama Mohamad.

 

Mohamed Gergawi ketawa. Kami berkawan walau dia bertaraf menteri kanan di UAE. Di mana-mana berjumpa dia akan menegur.

 

Gergawi
Mohamed Gergawi

 

Saya kembali menjadi setiausaha dan seharusnya mencari pengganti. Saya dan Hamed telah sepadan, rasa sayang pula meninggalkan jawatan setiausaha. Kami tidak menghiraukan apa orang kata.

 

Nama saya terkenal di Dubai Internet City sebagai COO baru. Saya hanya ketawa kerana politik pejabat agak sama di mana-mana. Orang melihat saya sebagai seorang baru yang mula naik nama.

 

Saya tidak sombong dan masih berkawan dengan pembersih lantai, tandas dan pembuat teh. Saya anggap mereka kawan tanpa prejudis. Dari pagi saya dikerumuni oleh mereka walau berlainan pejabat.

 

Selain itu, mencari rakan bisnes Dubai Internet City diteruskan dengan memanggil ketiga-tiga syarikat telekomunikasi dari USA, Perancis dan Singapura. Saya sentiasa berhubung dengan maklumat lengkap yang saya juga mempelajari dari pertanyaan.

 

Ketiga-tiga telah bersiap untuk datang dan memberi presentation dalam masa dua minggu.

 

Untuk setiausaha, berpuluh-puluh orang mengirimkan CV dari seluruh negara Arab. Saya membaca semua permohonan untuk menilai dan menyenarai pendek.

Ada dari Palestin, Lebanon, Yeman, Oman, Arab Saudi, Syria, Maghribi, Algeria, Mesir, Jordan, Libya, Sudan, Iraq dan Tunisia. Ada yang menulis dalam bahasa Arab.

 

Saya sungguh gembira dan seronok dengan sambutan yang diterima. Inilah pertama kali saya mencari setiausaha seorang CEO.

 

“Kita pilih dari tiap negara!” Kata Hamid Kazim kepada saya.

“Bagaimana dengan penerbangan?” Tanya saya.

“Kita bayar dengan tempat tinggal untuk sehari atau dua hari!”

 

Saya terdiam. Banyak wang Dubai Internet City. Jumlah penyewa untuk bangunan baru dibina yang masih belum siap telah bertambah hampir seratus lebih. Selain Microsoft, Oracle dan HP serta lain-lain gergasi yang menunggu. Semua syarikai IT dan Telekomunikasi yang besar dan yang kecil, yang baru dan yang lama telah mengetuk pintu.

 

Hamed Kazim menerima cadangan saya supaya syarikat-syarikat ini hanya menulis satu muka surat permohonan. Tidak seperti MDC yang tiga kali TV3 memohon namun masih gagal. TV3 terus tidak menjadi syarikat yang berdaftar dengan MDC.

 

 

oracle

 

Saya menyusun CV yang diterima dan membaca tiap satu. Ada yang berpengalaman dan ada yang junior. Boleh dikatakan, semua menarik dan lawa-lawa. Saya melihat gambar yang disertakan.

 

Dua orang dari Sweden dan USA sama teruja. Begitu juga setiausaha-setiausaha yang sedia ada.

 

Saya tidak pernah bercampur dengan wanita Arab dari pelbagai negara. Arab mempunyai 22 negara dengan Mesir yang paling besar. Saya mula belajar geografi negara-negara Arab untuk mengetahui peradaban dan adat resam.

 

Orang Arab bercakap berbeza antara negara-negara. Kata setiausaha dari Lebanon yang membantu saya untuk senarai pendek.

 

Sewaktu di TV3 saya mempunyai dua orang setiausaha dan saya memilih yang muda dan junior. Rasanya yang pertama seorang Serani dan yang kedua Melayu.

 

Pada kali ini saya serahkan kepada Hamed untuk memilih. Hamed menghabiskan masa meninjau setiap permohonan.

 

Akhirnya Hamed bersetuju memilih untuk kumpulan pertama dari setiap negara. Mesti tidak berkahwin. Saya tersenyum sendiri apabila Hamed Kazim sudah beristeri empat dan setiausahanya pula bujang.

 

Saya disuruh menghubungi dan mengatur temuduga. Termasuk penerbangan dan hotel. Ini adalah kerja yang cukup memeningkan kepala. Berhari-hari untuk menghubungi dan bertanya bila boleh datang. Wanita-wanita Arab itu ada yang slang Amerika dengan bahasa Inggeris yang baik.

 

Sementara itu Presiden syarikat AT&T dari Amerika tiba dahulu untuk bertanya khabar sebelum presentation. Saya terpaksa melayani beliau untuk tiga hari.

 

Presiden AT&T cukup mesra dan kami boleh berkawan dengan cepat. Walau gaji berjuta tetapi hidup sederhana.

 

dubai

 

Saya teringat alangkah baiknya dengan orang Malaysia berjawatan tinggi seperti Hamed dan presiden itu tanpa gelaran Tan Sri, Dato Sri dan Dato. Mudah berkomunikasi tanpa protokol.

 

Hamed Kazim dan presiden AT&T kalau di negara kita sudah bergelar Tan Sri dan VIP yang disanjung. Tidak mudah bertemu dan punya ramai orang disekelilingnya. Dengan pemandu dan pembantu-pembantu.

 

Kalau saya bergelaran Dato alangkah malunya dengan mereka. Saya menolak pingat kerana saya suka seperti mereka, orang biasa saja apalagi di Dubai dan dunia Barat yang tidak peduli apa gelaran!

 

{Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

 

Portfolio Tags