Syarikat awam tidak tersenarai, patuhi CMSA - SC | DagangNews Skip to main content

Syarikat awam tidak tersenarai, patuhi CMSA - SC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meminta syarikat tidak tersenarai awam (UPC) yang ingin mengumpul dana daripada orang awam supaya mematuhi Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) selain garis panduan yang berkaitan.

 

Ini terutamanya apabila melibatkan tawaran dibuat kepada pelabur runcit, gesa SC.

 

Peringatan itu dikeluarkan susulan SC telah menerima peningkatan jumlah pertanyaan dan aduan berkaitan UPC yang menawarkan sahamnya, termasuk saham keutamaan kepada pelabur runcit dan sofistikated. 

 

Dalam kes tertentu, saham tersebut dipasarkan atau ditawarkan melalui panggilan telefon, diikuti dengan mesyuarat bersemuka dengan ejen UPC, ujar SC lanjut. 

 

“CMSA menghendaki prospektus diterbitkan apabila saham UPC ditawarkan kepada pelabur runcit. Prospektus tersebut juga perlu didaftarkan dengan SC. 

 

“UPC tidak perlu menerbitkan prospektus hanya apabila saham tersebut diterbitkan sepenuhnya kepada pelabur sofistikated yang dihuraikan atau ditetapkan di bawah Jadual 6 dan 7 CMSA

 

“Pelabur sofistikated merangkumi individu bernilai bersih tinggi (high-net-worth) dengan ambang aset bersih sebanyak RM3 juta, tidak termasuk nilai kediaman utama, entiti bernilai bersih tinggi dan pelabur bertauliah,” jelas SC dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Menurut SC, penawaran saham kepada pelabur runcit tanpa prospektus merupakan salah laku serius di bawah CMSA dan seseorang yang didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya. 

 

Walaupun CMSA tidak mewajibkan penerbitan memorandum maklumat (information memorandum atau IM), UPC yang menerbitkan IM untuk menawarkan sahamnya kepada pelabur sofistikated dikehendaki menyerahkannya kepada SC, tambah suruhanjaya itu. 

 

Dalam masa sama, UPC juga dikehendaki menjelaskan dalam IM bahawa walaupun IM tersebut diserahkan kepada SC, kelulusan suruhanjaya itu adalah tidak diperlukan bagi penawaran saham tersebut, kata SC. 

 

“UPC bertanggungjawab untuk menyediakan semua maklumat yang relevan kepada pelabur, termasuk pelabur sofistikated untuk membolehkan mereka membuat penilaian bermaklumat, termasuk merit melabur dalam saham UPC dan tahap risiko yang terlibat. 

 

“Sebelum melabur dalam saham UPC, pelabur hendaklah mendapatkan serta membaca kandungan prospektus atau IM yang didaftarkan untuk memahami jenis dan risiko pelaburan mereka, terutamanya bagaimana pelaburan mereka akan digunakan oleh UPC. Mereka juga hendaklah membuat kajian mereka sendiri dan jika perlu, mendapatkan nasihat profesional. 

 

“UPC boleh merujuk kepada Prospectus Guidelines untuk mendapatkan maklumat yang perlu dimasukkan ke dalam prospektus UPC bagi tujuan pendaftaran dengan SC,” tambah kenyataan itu.

 


Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan mengenai mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan apa-apa saham dalam UPC boleh menghubungi Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel aduan@seccom.com.my. - DagangNews.com