Syarikat Malaysia, PCCS kini pengeluar rasmi produk pakaian sukan berjenama Puma di China | DagangNews Skip to main content

Syarikat Malaysia, PCCS kini pengeluar rasmi produk pakaian sukan berjenama Puma di China

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pengilang pakaian sukan PCCS Group Bhd secara rasmi menjadi pereka bentuk, pembangun dan pengeluarkan produk untuk Puma di China, mulai 2022.

 

PCCS juga secara rasmi melengkapkan pakaian pasukan perlumbaan Decathlon yang bersaing di Tour de France, serta pemain ping pong dan badminton negara China di bawah Li Ning. Pelanggan terbesar PCCS ialah Decathlon, Puma dan Li Ning.

 

Syarikat terus berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dan kekal dalam kedudukan tunai bersih seperti biasa.

 

Ia mempunyai wang tunai di bank sebanyak RM42.37 juta dan dana jangka pendek sebanyak RM26.87 juta. Pinjaman berjumlah RM38.34 juta, tetapi ini disokong kukuh oleh inventori RM56.61 juta dan belum terima RM83.29 juta.

 

Pengarah Urusan PCCS, David Chan Wee Kiang berkata, senario paling buruk kini sudah berlalu.

 

"Secara konservatif yakin dengan prospek kami bergerak ke hadapan dengan sekatan COVID-19 ditarik balik di seluruh dunia. Apabila maraton, perlawanan bola sepak dan triatlon di seluruh dunia dibuka semula, segmen pakaian olahraga kami akan mendapat momentum," kata beliau.

 

"Melangkah ke hadapan, keuntungan kami akan terus disandarkan oleh segmen pakaian kami. Tumpuan kami adalah untuk meningkatkan rantaian nilai dan menumpukan pada pembangunan pakaian atlet berteknologi tinggi, yang juga memperoleh margin yang lebih baik," ujarnya dalam satu kenyataan.


 

David Chan Wee Kiang
                                                    David Chan Wee Kiang

 


Terdahulu, PCCS mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM15.31 juta bagi suku pertamanya hingga 30 Jun 2022, iaitu kira-kira 14 kali lebih tinggi daripada RM1.1 juta yang dicatatkan setahun lalu.

 

Kumpulan itu juga mengumumkan dividen khas sebanyak 6 sen untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) sebagai ganjaran kepada pemegang saham berikutan pelupusan perniagaan pelabelannya.

 

PCCS berkata, keuntungan bersih kumpulan RM15.3 juta sebahagiannya disumbangkan oleh keuntungan daripada penjualan anak-anak syarikat, Mega Label (Malaysia) Sdn Bhd (MLM) dan Mega Label (Pulau Pinang) Sdn Bhd (MLP), berjumlah RM8.3 juta.

 

Setelah ditolak item luar biasa ini, PCCS masih mencatatkan keuntungan bersih teras yang mengagumkan sebanyak RM7 juta.

 

Tambahan pula, rekod hasil tertinggi PCCS sebanyak RM169.3 juta, menunjukkan bahawa perniagaan terasnya berkembang dengan kukuh. Syarikat itu bersedia untuk memenuhi kira-kira RM400 juta tempahan pakaian untuk tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2023 (FY23).

 

Untuk suku pertama sehingga 30 June 2022, hasil menyaksikan lonjakan 70.15 peratus daripada RM99.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Ini disebabkan oleh tempahan kukuh pakaian di Kemboja yang kembali selepas perniagaan dibuka semula. Dalam pada itu, PCCS Group Bhd juga telah menetapkan polisi dividen di mana ia akan membayar 30 peratus daripada keuntungannya selepas cukai bagi tahun kewangan yang akan datang.

 

Menyingkap kembali, pada Disember 2021, PCCS mengumumkan penjualan perniagaan pembungkusan yang merugikannya pada harga RM8.5 juta, yang turut menyaksikan RM38 juta masuk ke dalam syarikat itu.

 

PCCS, yang mempunyai 90% perniagaannya dalam pakaian sukan, juga mempunyai bahagian dalam pembiayaan sewa beli dan peranti perubatan. Pasaran eksport terbesar untuk pakaian olahraganya ialah China dan Hong Kong. - DagangNews.com