Syarikat Malaysia ungguli anugerah utama ACES | DagangNews Skip to main content

Syarikat Malaysia ungguli anugerah utama ACES

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando's Chickenland Malaysia and Singapura, Mac Chung Lynn menerima Anugerah Usahawan Wanita Tahun 2020 sempena Anugerah Kelestarian dan Kecemerlangan Korporat Asia. 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Anugerah Kelestarian dan Kecemerlangan Korporat Asia (ACES) tahun ini menyaksikan dua tokoh perniagaan Malaysia menggondol dua daripada tiga anugerah utama. 

Hartawan industri perkapalan, Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Sdn. Bhd., Tan Sri G. Gnanalingam, menerima Anugerah Usahawan Tahun 2020 atas kecemerlangannya memimpin syarikat tersebut terutama dalam menguruskan pelabuhan milik persendirian di Malaysia.  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando's Chickenland Malaysia and Singapura, Mac Chung Lynn pula menerima anugerah Usahawan Wanita Tahun 2020 atas kejayaannya mengembangkan perniagaan itu hingga memiliki 78 restoran di Malaysia dan 9 di Singapura.

Tahun ini menyaksikan penyertaan 420 calon dan 150 finalis dari Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Laos, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, Vietnam dan Sri Lanka. 

Ini juga termasuk calon dari 4 negara baru iaitu Maldives, Arab Saudi, Jerman dan Amerika Syarikat.

Kumpulan Mors merupakan penganjur bagi anugerah berkenaan. Kali pertama anugerah ini diadakan pada 2014 di Singapura dan tahun ini diraikan secara maya ekoran pandemik COVID-19. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mors, Shanggari B berkata, apa yang membezakan 2020 daripada tahun-tahun terdahulu ialah kesukaran akibat penularan pandemik yang dihadapi syarikat, organisasi dan ketua eksekutif yang dicalonkan dalam ACES.

Katanya, penyertaan dalam anugerah ini ketika pandemik ini juga membuktikan keyakinan mereka dalam memperkukuhkan kedudukan syarikat dan menarik pelabur. 

“Seperti yang dijangkakan, terdapat peningkatan dalam jumlah calon dan daya tahan mereka diuji dengan penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar secara maya semalam.  

Beliau berkata, dalam menghadapi situasi ini, ketua eksekutif syarikat perlu mengenal pasti kaedah baharu yang boleh dilaksanakan bagi membangunkan perniagaan secara holistik.

Dalam hal ini, katanya, fokus kebanyakan syarikat telah bertukar daripada mementingkan keuntungan kepada kaedah untuk bertahan dan meneruskan operasi perniagaan masing-masing.

"Matlamat kami bukan sahaja untuk mencari syarikat terbaik, tetapi untuk memupuk suasana yang kondusif, antaranya penilaian yang dijalankan ke atas syarikat mengambil kira strategi yang mereka gunakan bagi meningkatkan keupayaan pekerja. 

"Pada masa sama, kami juga melihat sejauh mana syarikat menitikberatkan tahap kesihatan mental para pekerja dalam menghadapi situasi mencabar ini," katanya. - DagangNews.com.