Skip to main content

Syarikat pemaju AS 'halalkan' hutang Trump AS$270 juta

Trump International Hotel & Tower

WASHINGTON 28 Okt. - Syarikat pemaju bangunan pencakar langit di Chicago, Amerika Syarikat (AS) memilih untuk 'menghalalkan' hutang sebanyak AS$270 juta sejak 2010 yang ditanggung Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

 

Keputusan itu diambil setelah Trump gagal membayar balik pinjaman berkenaan untuk pembangunan Trump International Hotel & Tower di Chicago.

 

Menurut analisis percukaian Trump yang dikeluarkan oleh Times, pembangunan tersebut mengalami masalah kewangan yang mengheret lanjutan tempoh bertahun-tahun untuk pembayaran hutang berkenaan.

 

Bagaimanapun, sebahagian besar hutang tersebut akhirnya diputuskan untuk dihapus kira.

 

Trump juga dilaporkan berjaya membuat bayaran terhadap cukai pendapatan persekutuan susulan jumlah cukai yang tinggi dikenakan akibat tidak membuat laporan terhadap hutang yang 'dihalalkan' sebelumnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Undang-Undang Pertubuhan Trump, Alan Garten turut memberitahu, Trump dan syarikatnya telah membuat bayaran kesemua cukai yang dikenakan untuk hutang yang dihapus kira.

 

Donald Trump
Donald Trump.

 

"Ini adalah transaksi jangka panjang yang dilakukan secara sukarela antara pihak-pihak berkepentingan sejak bertahun lalu setelah krisis kewangan global melanda pada 2008 dan kejatuhan pasaran hartanah," jelasnya.

 

Bagaimanapun, sentimen hutang berkenaan turut menjadi kelebihan kepada Trump untuk membina kedudukan politiknya menjelang pilihan raya presiden yang hanya berbaki seminggu.

 

Menurut Times lagi, Trump telah mengatur dua syarikat LCC untuk membuat pinjaman lebih daripada AS$700 juta untuk tujuan pembangunan di Chicago. 

 

Deutsche Bank bersetuju untuk memberi pinjaman berjumlah AS$640 juta untuk pembangunan projek berkenaan, bagaimanapun pembinaan tersebut dilanjutkan dan sebahagian besar pembinaan bangunan tersebut belum diselesaikan.

 

Bagaimanapun, bank berkenaan berdepan masalah dengan pengurusan Trump apabila didakwa terlibat dengan taktik pemberi pinjaman salah.

 

Namun, pada Julai 2010, Deutsche Bank, dan Trump berjaya mencapai penyelesaian tanpa mendedahkan syarat.

 

Susulan itu, penyata cukai persekutuan Trump dan dokumen pinjamannya menyatakan beliau mempunyai baki hutang berjumlah AS$270 juta daripada projek yang dilenyapkan itu. - DagangNews.com