Syarikat penerbangan Vietnam, Thailand ‘paling selamat’ berdepan krisis COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Syarikat penerbangan Vietnam, Thailand ‘paling selamat’ berdepan krisis COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Kedua-dua syarikat yang mengendalikan lapangan terbang di Vietnam dan Thailand mempunyai kedudukan ‘selamat’ untuk berdepan cabaran COVID-19 pada tahun-tahun mendatang.

Kedua-dua syarikat itu merupakan Airport of Thailand (AOT) dan Airport Corp of Vietnam (ACV).

Kedudukan ‘selamat’ itu dibuat berdasarkan kunci kira-kira dan mudah tunai (liquidity), peluang pertumbuhan dan pemulihan serta pendedahan terhad atau tiada ke atas pemilikan aset pesawat oleh sesebuah syarikat, kata CGS-CIMB Research.

“Secara keseluruhannya, kami meletakkan AOT dan ACV sebagai syarikat ‘paling selamat’ dalam liputan kami kerana mereka mempunyai kedudukan tunai bersih dan peluang pemulihan dalam trafik penumpang domestik. 

“Kami meletakkan Singapore Airport Terminal Services (SATS) di kedudukan ketiga dari segi perniagaan kerana syarikat itu secara tradisionalnya mempunyai pendedahan tinggi terhadap trafik penumpang antarabangsa berdasarkan kedudukannya di Lapangan Terbang Changi Singapura, walaupun kegearan bersih sangat rendah dan mempunyai dana kekayaan daulat Temasek sebagai pemegang saham terbesarnya,” kata nota kajian CGS-CIMB. 

Sementara itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di kedudukan keempat kerana syarikat itu mempunyai risiko lebih tinggi berbanding AOT, ACV atau SATS berdasarkan kedudukan hutang bersihnya. 

Tambah CGS-CIMB, trafik domestik di Vietnam, Thailand dan Malaysia masing-masing telah melonjak ke paras berbeza sejak April lalu. 

Daripada ketiga-tiga negara, Vietnam menunjukkan prestasi pasaran penerbangan yang paling meyakinkan dengan ACV menyaksikan pemulihan tertinggi kepada 10% dari segi trafik domestik pada separuh pertama Oktober 2020 berbanding tahun lalu. 

“Malaysia paling ketinggalan dengan trafik domestik MAHB pada September masih 61% lebih rendah berbanding tahun lalu dan pada Oktober, jumlah trafik terjejas akibat sekatan pergerakan baharu di beberapa negeri. 

“Thailand berada di tengah-tengah dengan AOT menyaksikan sebanyak 47% penurunan penumpang domestik pada bulan Ogos 2020,” kata CGS-CIMB.

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘underweight’ ke atas sektor penerbangan di rantau ASEAN dengan risiko penurunan adalah pemulihan perjalanan antarabangsa yang perlahan ekoran vaksin COVID-19 mungkin tidak dapat dilancarkan sehingga pertengahan tahun 2021 dan hanya 26% sahaja populasi dunia yang diberikan vaksin pada penghujung 2021,” tambah CGS-CIMB.

Penarafan itu dibuat seiring saranan ‘tambah’ saham ACV dan MAHB.   -   DagangNews.com