Syarikat solar AS failkan petisyen siasat kilang firma China termasuk di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syarikat solar AS failkan petisyen siasat kilang firma China termasuk di Malaysia

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sekumpulan pengeluar sistem solar dari Amerika Syarikat (AS), American Solar Manufacturers Against Chinese Circumvention telah memfailkan petisyen yang menggesa tindakan siasatan ke atas beberapa firma China. 

 

Firma-firma yang juga terlibat dalam pembuatan sistem solar itu didakwa mengelak daripada penguatkuasaan cukai atau tarif AS dengan mewujudkan kilang pengeluaran di negara berbeza termasuk Malaysia, Vietnam dan Thailand.

 

Petisyen itu diserahkan kepada Jabatan Perdagangan AS, menurut firma guaman yang menjadi penasihat kepada kumpulan berkenaan, Wiley Rein LLP, seperti dilaporkan Bloomberg.

 

Firma-firma China itu mendominasi pengeluaran panel solar fotovoltan (PV), yang melibatkan beberapa peringkat proses dan kebiasaannya dijalankan di kilang-kilang berasingan, dan terletak di wilayah atau negara berbeza. 

 

Beberapa syarikat didakwa telah membuka kilang di negara lain dalam tempoh beberapa tahun lalu, untuk memasang modul solar.

 

“Petisyen ini mendakwa bahawa tindakan itu menunjukkan jalan pintas ketara untuk mengelak cukai AS terhadap produk solar China. Kumpulan industri tersebut menggesa cukai itu diperluaskan sehingga ke produk-produk dari kilang-kilang di Asia Tenggara milik syarikat China,” tambah Bloomberg.

 

Gesaan itu dibuat ketika tekanan AS terhadap industri solar China kian meningkat apabila Joe Biden mahu mengambil tindakan terhadap tuduhan penderaan buruh di wilayah Xinjiang. 

 

Dalam pada itu, Canadian Solar Inc. pada minggu ini juga memberi amaran bahawa kesemua panel solar yang diimport dari China berisiko ditahan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS. - DagangNews.com