Syarikat tempatan disaran rebut teknologi sawit MPOB | DagangNews Skip to main content

Syarikat tempatan disaran rebut teknologi sawit MPOB

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Syarikat tempatan dan pengusaha industri kecil dan sederhana disaran mengambil peluang perniagaan untuk mengkomersialkan teknologi berasaskan sawit yang dibangunkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Setakat ini, agensi itu telah membangunkan 3 teknologi berasaskan sawit untuk pengkomersialan oleh syarikat tempatan dan ia mempunyai potensi pasaran yang luas termasuk di luar negara. 

 

Teknologi yang ditawarkan itu adalah antara yang telah dipersetujui bagi tujuan pengkomersialan oleh Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

 

Menurut MPOB, antara teknologi atau formulasi yang ditawarkan ialah produk tablet boleh-kunyah Vitamin E/ Pecahan Kaya-Tokotrienol Sawit yang telah memenangi Anugerah Pingat Emas di Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-28 (ITEX 2018).

 

Tablet boleh-kunyah yang diperkayakan dengan tokotrienol sawit adalah produk yang berkhasiat, lazat dengan pelbagai perisa berasaskan vitamin E sawit / pecahan kaya-tokotrienol (TRF) sebagai bahan aktif utama.

 

"Vitamin E/TRF sawit terdiri daripada 70 hingga 80% vitamin E tokotrienols dan 20 hingga 30% vitamin E tokoferol yang mempunyai pelbagai manfaat kesihatan termasuk mengatasi kekurangan vitamin E.

 

"Ia daripada sawit berfungsi sebagai antioksida yang mampu melambatkan proses penuaan dan melindungi sel tubuh daripada kerosakan melalui proses pengoksidaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

tablet
Vitamin E/TRF sawit mengandungi 70- 80% vitamin E tokotrienols

 

Malah, Vitamin E/TRF sawit mempunyai ciri anti penuaan, anti barah, anti radang, anti diabetes, mampu mengurangkan kadar kolesterol dan menjaga kesihatan jantung.

 

MPOB menggalakkan syarikat pengeluar produk makanan digalakkan mengkomersialkan tablet boleh-kunyah vitamin E/TRF sawit yang berpotensi besar untuk dipasarkan sebagai makanan yang diperkaya atau berfungsi sebagai produk kesihatan atau nutraseutikal.

 

Penggunaan minyak sawit dan produk keluarannya dalam formulasi makanan akan meningkatkan nilai tambah yang akan memperluas penggunaan minyak dan produk berasaskan sawit.

 

MPOB juga telah membangunkan teknologi polyol berasaskan sawit untuk penghasilan penglitup poliuretana bagi pasaran karpet rumput tiruan hiasan atau sukan.

karpet
Poliol berasaskan sawit boleh digunakan untuk menghasilkan formulasi penglitup poliuretana.

 

"Poliol berasaskan sawit boleh digunakan untuk menghasilkan formulasi penglitup poliuretana berasaskan sawit untuk digunakan bagi menglitup pada permukaan belakang karpet sukan dan karpet rumput tiruan hiasan. 

 

"Penggunaan poliol berasaskan sawit bertujuan melindungi dan mengukuhkan jahitan rumput tiruan pada permukaan karpet. Malah, ia juga memberi kesan kusyen dan kekuatan mampatan yang sesuai dengan penggunaan karpet tersebut," katanya.

 

Jelas MPOB, penggunaan penglitup poliuretana berasaskan sawit dapat memenuhi permintaan pengguna terhadap produk yang lebih mesra alam dan tahan lasak.

 

Pengkomersialan teknologi MPOB akan meningkatkan penggunaan minyak sawit bagi pengeluaran produk pelekat.

 

Teknologi ini merupakan strategi tambah nilai produk sawit dan menyediakan produk yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui kepada sektor industri dan pengguna.

 

Selain itu, MPOB juga menawarkan teknologi dan formulasi produk pembersih tangan dan pelembap dengan Vitamin E.

 

Pembangunan teknologi ini telah mempelbagaikan penggunaan oleokimia sawit dan Vitamin E dalam produk pencuci khususnya bagi menangani penularan COVID-19.

 

Dalam masa, menurutnya, penggunaan cecair sanitasi adalah sangat penting untuk membersihkan tangan dan mengurangkan jangkitan virus COVID 19. 

 

Pensanitasi tangan konventional biasanya mengandungi kandungan alkohol yang tinggi dan boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan berupaya merosakkan kulit jika kerap digunakan. 

 

Dengan formulasi pensanitasi yang diperkaya dengan gliserin dan vitamin E sawit, selain membersihkan tangan, ia juga meningkatkan dan mengekalkan kelembapan kulit serta melindunginya dari kerosakan akibat radikal bebas. - DagangNews.com