Skip to main content

Syed Mokhtar, 'penyelamat' atau sebaliknya

ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Siapa tidak kenal dengan figura yang selalu dikaitkan dengan jenama roti Gardenia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, individu ke-13 terkaya di Malaysia dalam senarai Forbes dengan nilai kekayaan bersih setakat ini mencecah AS$1.4 bilion (RM5.82 bilion). 

Semalam, beliau dilaporkan bakal muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam FGV Holdings Bhd. menerusi Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB) yang akan membuat suntikan aset perladangan ke dalam FGV bagi pertimbangan mendapatkan kepentingan saham.

PLSB dimiliki sepenuhnya Restu Jernih Sdn. Bhd. menerusi Syed Mokhtar yang mana PLSB turut memiliki kumpulan syarikat Tradewinds, termasuk Tradewinds Plantation Bhd. dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR). 

Segmen perniagaan ini hampir sama seperti FGV yang juga memiliki kepentingan 51% dalam MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM), kilang gula terbesar di negara ini. 

 

Syed Mokhtar Albukhary
Syed Mokhtar Albukhary
 

Sumber kekayaan taikun berusia 68 tahun ini juga kebanyakannya datang dari syarikat tersenarai di Bursa Malaysia terutama MMC Corp. dan DRB-Hicom. Bahkan, beliau terlibat dalam pelbagai segmen perniagaan antaranya logistik, pembinaan, pelabuhan, kejuruteraan, automatif, media dan pendidikan. 

Bagi penganalisis, kekuatan ekonomi yang ada pada Syed Mokhtar mungkin boleh menjadi 'penyelamat' terutama dengan mengambil kira situasi ketika ini, keadaan politik dan ekonomi tidak menentu. 

"Bagaimanapun, jika sebaliknya, mungkin ditakuti beliau akan menjadi 'kingmaker' politik di sebalik tabir dengan penguasaan ekonominya. 

"Syed Mokhtar akan didampingi dan dipergunakan, khususnya parti-parti politik berasaskan Melayu, Islam dan bumiputera. 

"Tetapi, saya juga khuatir, jika Syed Mokhtar hanya akan menjadi 'bidak' akhirnya," ujar Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid kepada DagangNews.com hari ini. 

 

Baharom Abdul Hamid
Baharom Abdul Hamid
 

Beliau berkata, kawasan Felda amat luas dengan 54 kawasan Parlimen dan golongan peneroka pula amat rapuh dan mudah terdedah kepada apa jua sentimen. 

Tetapi, undi peneroka amat penting kepada kerajaan walaupun terdapat beberapa kawasan Parlimen yang sensitif. 

"Mungkin dari satu perspektif, dalam usaha menarik undi peneroka ini, kerajaan mahu melakukan sesuatu, antaranya melalui FGV, (kerana peneroka juga adalah pemegang sahamnya).

"Mungkin suatu hari nanti kerajaan akan terhutang budi kepada Syed Mokhtar kerana membantu mereka," katanya.

FGV, disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 dengan harga saham RM4.45 menjadikan syarikat itu penyenaraian kedua terbesar di dunia selepas Facebook. 

Syarikat itu memiliki bank tanah seluas 439,725 hektar di Malaysia dan Indonesia dan merupakan salah satu pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia, sekitar 3 juta tan metrik setahun.

Pada suku kedua tahun ini, FGV kembali mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM17.8 juta berbanding kerugian sebanyak RM56.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Meskipun dengan prestasi yang baik pada suku kedua, FGV merekodkan kerugian kasar bagi tempoh enam bulan tahun kewangan 2020 sebanyak RM150.23 juta berbanding RM34.9 juta pada tempoh sama 2019. 

Setakat 12.28 petang, harga saham FGV meningkat 5.61% kepada RM1.13 susulan laporan PLSB yang berhasrat mahu menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat itu. 

 

Zulaikha Azmi
Zulaikha Azmi
 

Sementara itu, penyelidik ekonomi di Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS), Zulaikha Azmi berkata, penswastaan FGV dari pasaran saham memberi pengurusannya lebih ruang untuk membuat penstrukturan dalam syarikat. 

Namun, katanya, langkah ini melibatkan kos setinggi RM15 hingga RM20 billion. 

"Pada masa ini, prestasi kewangan FGV sangat terdedah kepada turun naik harga minyak sawit mentah. Tetapi pada masa sama, penstrukturan FGV penting untuk meningkatkan daya tahan turun naik harga. 

"Ini sama ada lebih baik dilakukan FGV sendiri atau diambil alih oleh pemain swasta bergantung kepada strategi mereka," katanya. 

Beliau juga menyifatkan, segmen bisnes yang sama (antara Tradewind Plantations-FGV, MSM-CSR) tidak semestinya akan membantu perniagaan. 

Selain itu, katanya, adalah penting beberapa syarikat yang berbeza wujud untuk memastikan sektor terus berdaya saing.

Zulaikha menegaskan, FGV (atau dahulunya Felda Plantation) merupakan sumber pendapatan utama Felda dan tanpa FGV, Felda akan bergantung kepada peruntukan kerajaan sebagai sumber kewangan. 

"Penyelesaian yang ideal ialah apabila peneroka Felda disertakan dalam strategi pembaharuan FGV dan Felda. Kesejahteraan peneroka harus diutamakan," katanya. 

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Koperasi Permodalan Felda (KPF), Datuk Zakaria Arshad berkata, penyertaan Syed Mokhtar dalam FGV akan mengurangkan pegangan pemegang saham sedia ada seperti Felda dan KPF. 

"Langkah ini akan menjadi lebih baik sekiranya kemasukan Syed Mokhtar boleh menaikkan keuntungan FGV," katanya. 

Felda memiliki 33.6% kepentingan dalam FGV manakala KPF 4.75%, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (6.05%) dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (8.03%) - DagangNews.com