Skip to main content

T20 keluarkan i-Sinar beli emas - Kaji selidik

 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Hampir separuh daripada golongan T20 yang telah memohon atau merancang untuk memohon pengeluaran i-Sinar menggunakannya untuk membuat pelaburan bagi membeli emas dan saham.

 

Menurut kajian dilakukan Pusat Penyelidikan Undian UCSI seperti dilapor Bernama, kebanyakan mereka yang berbuat demikian adalah mereka dalam kategori umur 40 hingga 55 tahun. 

 

Hasil kajian membabitkan 809 responden dari seluruh negara itu mendapati sebanyak 34.9% menggunakan duit i-Sinar untuk tujuan tersebut merangkumi 47.7% daripada pencarum T20, M40 (31.1%) manakala B40 (35.3%).

 

“Menariknya pelaburan menjadi satu daripada tujuan pengeluaran i-Sinar terutama golongan T2 meskipun dalam keadaan sukar dengan pandemik COVID-19, masih ada yang melihat peluang dan bertindak,” katanya dalam kenyataan semalam.

 

Menurut pusat kajian itu, membayar balik pinjaman menjadi tujuan utama responden membuat pengeluaran i-Sinar bagi golongan B40 dan M40 yang berusia 26 hingga 55 tahun.

 

Sehubungan itu, UCSI memaklumkan sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia melihat kembali sama ada mereka mempunyai komitmen yang tinggi dan cukup bersedia berdepan dengan masa-masa sukar seperti sekarang.

 

Daripada keseluruhan koresponden, kajian itu mendapati hanya 48.6% menggunakankan wang itu untuk kegunaan membeli makanan dan barangan dapur. - DagangNews.com