Skip to main content

T7 Global dapat kontrak pemeriksaan dalam air di Sabah, Sarawak

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnewscom

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Syarikat penyelesaian tenaga, T7 Global Berhad telah meraih satu kontrak untuk menyediakan perkhidmatan dalam air kenderaan yang dikendalikan dari jauh (ROV) mini kepada Pioneer Pegasus Sdn. Bhd. (PPSB).

 

Ini selepas anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd. pada 12 Julai lalu telah menerima surat tawaran dari PPSB.

 

Menerusi kontrak itu, T7 Global akan menyediakan pemeriksaan dalam air dan perkhidmatan penyelenggaraan untuk 10 platform di Sabah dan Sarawak menggunakan ROV mini. 

 

Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, kemenangan kontrak itu membuktikan keupayaan perniagaan ROV mini syarikat. 

 

Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani
Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani

 

“Strategi kami telah berjalan lancar sejak penubuhan pada 2019 dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan dalam air menerusi beberapa projek Petroliam Nasional Berhad (Petronas). 

 

“Ketika ini, kami akan menumpukan kepada mengembangkan pangkalan pelanggan menerusi pengendali lepas pantai,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kontrak itu berkuatkuasa dari tarikh pemberian kontrak dan dijangka siap apabila kempen pemeriksaan platform berakhir pada penghujung 2022. 

 

Menurut syarikat, kontrak itu dijangka tidak akan mendatangkan sebarang impak material kepada jumlah modal saham yang diterbitkan oleh T7 Global.

 

Tetapi, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan 31 Disember 2022. - DagangNews.com