Tabung Haji, Malaysia Airlines tandatangani perjanjian penerbangan sewa khas haji selama 3 tahun | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji, Malaysia Airlines tandatangani perjanjian penerbangan sewa khas haji selama 3 tahun

AMAL akan menggunakan pesawat A330-300 dengan kapasiti 284 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan yang selesa.

KUALA LUMPUR 24 Mei - Malaysia Airlines Berhad (MAB) memeterai perjanjian selama 3 tahun dengan Lembaga Tabung Haji untuk menyediakan operasi penerbangan sewa khas haji bagi jemaah dari Malaysia.

 

Perkhidmataan penerbangan sewa khas ini akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, AMAL by Malaysia Airlines (AMAL).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, rekod cemerlang AMAL yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan penerbangan sewa khas haji telah menjadi pendorong utama pemilihan MAB sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bermula 2022 hingga 2024. 

 

Katanya, Tabung Haji yakin komitmen, pengalaman, kepakaran dan kerjasama di semua peringkat mampu memberikan perkhidmatan dan layanan yang cemerlang kepada bakal haji. 

 

"Malah, mutu perkhidmatan yang diberikan oleh AMAL sebelum ini telah menerima pujian daripada jemaah haji.

 

"Tabung Haji ialah satu-satunya badan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi keselesaan dan kebajikan jemaah haji," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu yang ditandatangani Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman manakala AMAL diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail.

 

 

Tabung Haji
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd., Kapten Izham Ismail (dua dari kiri) bersama
Ketua Pegawai Operasi AMAL by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor; Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam majlis menandatangani perjanjian penerbangan sewa khas antara kedua-dua pihak, hari ini.

 

 

 

Sementara itu, Izham berkata, AMAL by Malaysia Airlines kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan lancar bagi memastikan para jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan
sempurna.

 

Katanya, sebanyak 50% jemaah haji dari Malaysia akan diterbangkan terus oleh AMAL secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah.

 

“AMAL akan menggunakan pesawat A330-300 dengan kapasiti 284 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan yang selesa dan terbaik diberikan pada para jemaah. 

 

"Ini termasuk perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat bagi memastikan pengalaman ziarah yang menyeluruh sebaik sahaja penumpang memasuki pesawat," katanya.

 

Seramai 14,306 jemaah haji akan menunaikan rukun Islam ke-5 tahun ini dan penerbangan pertama akan
berlepas pada 4 Jun 2022. - DagangNews.com