Tahniah Malaysia! - AS puji kejayaan negara anjur APEC 2020 | DagangNews Skip to main content

Tahniah Malaysia! - AS puji kejayaan negara anjur APEC 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Amerika Syarikat (AS) yang merupakan salah satu Ekonomi APEC mengucapkan tahniah atas kejayaan Malaysia selaku tuan rumah persidangan itu pada tahun ini.

 

Ucapan tahniah itu disampaikan oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat beliau di Parlimen. 

 

“Melalui Puan Yang Terutama (PYT) Kamala, saya telah menyampaikan penghargaan kerajaan Malaysia selaku hos APEC 2020 kepada Presiden Donald Trump atas penglibatan beliau mewakili AS pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Ekonomi APEC yang telah berlangsung secara maya pada 20 November lepas.

 

Muhyiddin Yassin

 

“PYT Kamala juga telah menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan AS atas kejayaan Malaysia selaku tuan rumah persidangan APEC tahun ini yang menyaksikan Deklarasi Kuala Lumpur diisytiharkan serta pelancaran Visi Putrajaya 2040 yang bakal menjadi aspirasi baharu kepada komuniti APEC bagi pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh 20 tahun akan datang,” kata Muhyiddin menerusi status Facebook beliau hari ini. 

 

Selaku tuan rumah APEC 2020, Malaysia berdepan cabaran besar iaitu penularan pandemik COVID-19. 

 

Namun, Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya menganjurkan persidangan ekonomi rantau Asia Pasifik itu secara maya.

 

Tambah Muhyiddin, Kamala juga berkongsi mengenai perkembangan terkini beberapa vaksin COVID-19 keluaran syarikat bioteknologi dan farmaseutikal AS yang sedang melalui proses ujian dan kelulusan Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) negara itu.

 

“Saya menyambut baik perkembangan tersebut dan menyatakan harapan agar akses kepada vaksin tersebut dibuat secara adil dan saksama apabila dilancarkan kelak.

 

“Selain itu, perbincangan kami juga tertumpu kepada beberapa hal berkaitan mempertingkat kerjasama dua hala termasuk bidang perdagangan, pelaburan, kewangan dan pendidikan serta isu-isu geopolitik serantau dan keselamatan antarabangsa.

 

“Saya akhiri pertemuan dengan menzahirkan harapan agar hubungan Malaysia dan AS yang terjalin sekian lama dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan,” ujar Muhyiddin. - DagangNews.com

 

logo apec