Skip to main content

Tahun 2022, Waspada dan Dayang Nurfaizah

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

ASALNYA minta sahabat tolong bawakan jersi Liverpool tetapi diajaknya pula bermain bola padang. Jawapan pantas ketika itu ialah mungkin main 5 minit. Dan setelah diperiksa but bola, kali terakhir diguna pada 2018. Tapak sudah berlubang. 

 

Petang Sabtu terima lagi WhatsApp sahabat, sila daftar nama untuk masuk padang. Ini serupa sudah wajib pula, walhal hendak ambil baju sahaja dari dia. Maka berbelilah kasut but baharu, lengkap stokin.

 

Acara bola pertama bagi tahun 2022 ini dianjur oleh kelab penyokong rasmi Liverpool di Malaysia, All Reds Malaysia sebagai sesi beramah-mesra sesama ahli. Inilah satu-satunya kelab atau pertubuhan yang saya sertai. Dan satu-satunya yang saya rela pikul tugas sebagai AJK.

 

Hampir 30 yang turun bermain tujuh sebelah. Matlamat ketika itu ialah jangan crammed kaki atau pitam. Berjaya menghabiskan 2 perlawanan dengan masa keseluruhan atas padang 15 minit, menjaringkan 1 gol dan mensia-siakan 32 peluang keemasan depan gol. 

 

Paling terakhir bermain futsal genap setahun lalu di Kuching. Sukan lazim saya suka ialah Mountain Biking. Itu pun terakhir awal Disember sebelum terhenti sekejap akibat hujan lebat dan banjir besar di Lembah Klang ini. 

 

Betul sangatlah, keesokan harinya Ahad kaki pun jadi sengal sendi. Yang impak besarnya ialah menggagalkan Merrepak untuk terbit mengikut jadual pada setiap Ahad. Faktor: kaki sengal membawa ke seluruh badan! 

 

merrepak

 

Moral cerita di atas ialah diharapnya tahun 2022 ini akan dipenuhi dengan acara bersukan yang lebih kerap setelah `dibebaskan' daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) pada akhir Oktober 2021.

 

Bukan sahaja badan kita memerlukan berpeluh dan beriadah tetapi juga minda dan roh kita merindui detik-detik indah dapat berinteraksi dengan sahabat-handai, apatah lagi di atas padang yang mana gurauan diselang seli dengan makian menjadi bahan ketawa berpanjangan di kedai mamak kemudiannya.

 

Gunakan masa mendatang ini sebaik-baiknya untuk anda turun bersukan, semudah-mudah jogging atau berjalan keliling tasik. Oh ya, jaga SOP.

 

COVID-19

Semua sudah baca dan dengar betapa varian baharu virus ini telah merebak ke negara ini, disebabkan pembawaan orang yang datang dari luar negara. 

 

Pihak berkuasa kesihatan sentiasa mengingatkan keperluan setiap daripada kita agar terus mematuhi SOP. Memang tak selesa, memang leceh tapi lagi rumit dan leceh kalau terjangkit coronavirus. 

 

merrepak

 

Tak mahu merrepak (membebel) bab ini. Kita sendiri boleh fikir sendiri. Ada yang terus berdegil enggan divaksin hingga ke hari ini. Malah grup WhatsApp surau pun masih ada insan selamba memasukkan propaganda anti-vaksin.

 

Mereka pertikaikan kita yang divaksin dua kali dan sekarang kena suntik ketiga iaitu booster pula. Tak juga kebal COVID-19. Itu kata anti-vaksin. 

 

Nak lawan pun buat letih sebab yang anti-vaksin ni golongan bijak pandai. Ada yang jadi guru, ada jurutera, ada peguam. Mereka tidak peduli pun, malah pertikaikan data mangsa yang terkorban dek COVID-19 adalah mereka yang tidak divaksin. 

 

Jadi siapalah kita hendak nasihatkan golongan anti-vaksin ini? Biarlah mereka dengan kepercayaan mereka. Itu masalah mereka. 

 

Cuma ia menjadi masalah kita bila golongan anti-vaksin ini datang kepada kita, memasuki rumah atau pejabat kita. Bincang pakai WhatsApp sahajalah. Selamat.

 

Dayang Nurfaizah

Apa kaitan penyanyi ini pula? Tiada apa. Cuma dalam kebanyakan masa bekerja baik di kantor atau rumah, lagu Dayang Nurfaizah yang berkumandang mengiringi kerja. 

 

merrepak

 

Dalam keperluan untuk sentiasa teliti semasa membuat analisis, mengkaji dan menyiapkan artikel setiap hari, kemerduan dan kepaduan suara Dayang Nurfaizah banyak membantu, walaupun dalam kebanyakan masa tidak ingat pun tajuk lagu.

 

Ada orang menyukai suasana bekerja seperti di dalam perpustakaan. Sunyi sepi. Supaya otaknya boleh berfungsi dengan lancar. Sebenarnya, ramai begini. 

 

Ada yang seperti saya, kena ada iringan muzik semasa menaip. Dan walaupun Dayang Nurfaizah sentiasa jadi pilihan utama, kadang-kadang deadline pendek, mendesak dan menaikkan darah maka lagu heavy metal jadi pilihan. 

 

Sesekali mendengar lagu zaman remaja seperti Duran Duran, amat menenangkan dan memberi inspirasi seperti A View To A Kill atau Come Undone.

 

Apa pula pilihan anda?

 

MERREPAK

Sama seperti dibuat selama ini, Merrepak akan menyajikan kedua-dua intipati serius dan kurang serius pada setiap Ahad di DagangNews.com. Bermula di dalam Mingguan Malaysia pada 2009, asalnya memberi fokus kepada isu-isu luar negara secara santai. 

 

Setelah syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dikuburkan oleh pihak berkepentingan pada 2019, saya merasakan jenama Merrepak ini masih ada pembaca setianya setelah sedekad disiarkan sekali seminggu di Mingguan Malaysia.

 

merrepak

 

Ada masanya seperti hari ini, topik yang dihidangkan agak ringan dan mungkin berbentuk satira (sebenarnya menulis artikel satira sangat sukar...) dan ada masanya agak serius. Dan kedua-dua bentuk artikel ini telah saya terima maklum balas daripada anda pembaca yang dihormati sekalian.

 

Ya, tidak semua akan setuju dengan ringan, tidak semua suka dengan serius. Tapi terimalah Merrepak sebagai platform yang fleksibel untuk anda sama-sama bercambah idea atau berfikir sejenak. Merrepak tidak mengajak anda menjadi sarjana atau pelawak. Tapi memadai menjadi pembaca yang tahu.

 

Terima kasih atas sokongan anda sekian lama, sehingga dapat Merrepak ini diteruskan dari medium akhbar kepada portal berita dalam talian sepenuhnya ini.

 

Terima kasih banyak-banyak.

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Dikirim Jangan Dipesan Jangan oleh Dayang Nurfaizah berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.