Takaful Ikhlas serah zakat perniagaaan kepada PPZ-MAIWP | DagangNews Skip to main content

Takaful Ikhlas serah zakat perniagaaan kepada PPZ-MAIWP

Zaharudin Daud (kanan) menyerahkan zakat perniagaan Takaful IKHLAS  kepada Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, disaksikan oleh Senator Idris Ahmad di Masjid Negara, baru-baru ini.

 

 

KUALA LUMPUR 4 DisTakaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS), anak-anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad telah menyampaikan bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 berjumlah RM446,835.00 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

 

Penyerahan zakat perniagaan Takaful IKHLAS ini disempurnakan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MNRB,  Zaharudin Daud; Pengerusi PPZ-MAIWP kepada Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris dalam satu majlis penyerahan di Masjid Negara, baru-baru ini.

 

Majlis ini turut dihadiri oleh Presiden & CEO Takaful Ikhlas General Berhad, Dato’ Rudy Rodzila Che Lamin; Pengerusi MAIWP,  Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar; Pemangku CEO PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan  Pemangku CEO MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

 

Menurut Zaharudin, setiap tahun, Takaful IKHLAS melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab syarikat untuk berkongsi keuntungan pendapatan yang diperoleh dengan golongan yang memerlukan.

 

Katanya, sumbangan zakat ini juga merupakan satu cara untuk syarikat menerapkan semangat saling tolong-menolong di antara syarikat korporat dan masyarakat, selaras dengan sistem takaful yang berteraskan konsep kerjasama dan tanggungjawab diantara peserta.

 

“Takaful IKHLAS yakin pembayaran zakat kepada PPZ-MAIWP dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

 

‘’Pembayaran ini juga dapat dimanfaat sepenuhnya oleh PPZ-MAIWP dalam menjana pembangunan kelestarian masyarakat yang positif melalui program-program yang dilaksanakan oleh PPZ- MAIWP,” tambah Zaharudin lagi.

 

Sumbangan zakat ini juga sejajar dengan konsep bersedekah yang diterapkan oleh Takaful IKHLAS dalam operasi hariannya. Melalui konsep itu, Takaful IKHLAS juga dapat berkongsi konsep ini kepada pelanggan yang menyertai pelan perlindungan yang disediakan, di mana mereka bukan sahaja melindungi diri dan insan tersayang, malahan dapat turut membantu komuniti yang memerlukan melalui sumbangan perlindungan takaful.

Takaful IKHLAS yakin  konep itu bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat tetapi juga dapat memupuk masyarakat yang prihatin antara satu sama lain.

 

Takaful IKHLAS juga turut menyempurnakan tanggungjawab zakat perniagaannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 kepada beberapa Majlis Agama Islam di negeri yang lain termasuk sumbangan zakat sebanyak RM123,704.40 kepada Majlis Agama Islam Melaka dan RM174,185.60 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu.

 

Takaful IKHLAS telah memperuntukkan sebanyak RM744,725.00 bagi serahan zakat kepada institusi-institusi zakat dan juga golongan asnaf di beberapa buah negeri. Jumlah serahan zakat kepada PPZ-MAIWP adalah yang terbesar. – DagangNews.com