Takut PKP lebih daripada takut COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Takut PKP lebih daripada takut COVID-19

Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sunyi sepi semasa PKP ketat dilaksanakan pada 18 Mac 2020. - Gambar hiasan

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

11 JANUARI 2021 bersamaan Isnin. Bukan hari tengok anak bulan. Raya jauh lagi. Puasa lagi-lagilah jauh.

 

Sebaliknya, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dijangka mengisytiharkan untuk sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat sama seperti kita alami selama 3 bulan bermula 18 Mac 2020.

 

Keputusan yang bakal diumumkan itu juga didorong oleh nasihat Kementerian Kesihatan yang mendedahkan sembilan hari pertama tahun 2021 telah mencatatkan lebih 70 kematian akibat COVID-19 sedangkan sepanjang 9 bulan tahun 2020, kematian kurang dari 100 kes.

 

Seandainya kes kematian akibat COVID-19 masih juga tidak menyeramkan anda, sehingga 10 Januari 2021, terdapat 28,646 kes positif sedang ditanggung negara pada detik dan saat ini.

 

Ramai daripada kita berada di dalam dilema berkenaan PKP ini. Di tangan kanan, kita terima dan akur bahawa satu-satunya langkah terbaik untuk mengekang penularan COVID-19 ialah dengan melaksanakan sekali lagi PKP ketat.

 

Selagi kita tidak ada vaksin, selagi itulah kita semua berisiko terkena jangkitan wabak yang halimunan dan boleh mengena anda hanya menerusi udara yang anda sedut daripada individu lain, yang mungkin juga tidak tahu pun dia ada COVID-19.

 

Dan di tangan kiri, kita juga tahu betapa rumitnya kehidupan semasa PKP. Tahun lalu selama tiga bulan tiada sesiapa dibenarkan keluar, melainkan seorang wakil untuk membeli makanan. Kerja tersekat, persekolahan terbantu dan gaji tidak berjalan terutama yang bekerja gajinya dibayar mengikut hari atau kehadiran.

 

Keperitan rakyat itu juga mendorong kerajaan menyediakan pelbagai skim bantuan, termasuk Belanjawan Negara 2021 yang fokus kepada usaha pemulihan negara akibat COVID-19. Jadi kali ini, bagaimana? Masih berduitkah kita?

 

Tetapi persoalan balik ialah nyawa bagaimana?

 

Saya tidak akan memanjangkan Merrepak tajuk PKP COVID-19 kerana mahu anda sendiri memikirkan buruk baiknya PKP ini dan cara terbaik bagi memastikan kesinambungan hidup. Mengikut isyarat kerajaan, PKP ketat ini tidak akan diadakan lama seperti yang dulu. Dan bersasar iaitu kawasan Merah sahaja.

 

Jadi bersabar dan susun jadual anda, kawal perbelanjaan. Kita harus hadapi COVID-19 ini dengan keberanian, kewarasan dan kematangan.

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu Money For Nothing oleh Dire Straits berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.