Skip to main content

Tambahan 182,520 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba esok

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Malaysia bakal menerima sebanyak 182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang akan tiba esok (Rabu), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

 

Jelasnya, vaksin yang dikeluarkan di Belgium itu dijadualkan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah pagi dari Singapura.

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

 

“Vaksin yang bakal tiba ini akan dihantar ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, menurut laporan Bernama. 

 

Pada Ahad lalu, Malaysia menyaksikan 'ketibaan' kumpulan pertama vaksin COVID-19 sebanyak 312,390  dos di pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang.

 

Bekalan Vaksin Pertama
BEKALAN vaksin Pfizer-BioNtech pertama yang tiba di Malaysia menerusi pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas pada Ahad lalu.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijadualkan akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang diawalkan bermula 24 Februari ini di mana Perdana Menteri bakal menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin berkenaan.

 

Fasa 1 yang berlangsung dari Februari hingga April 2021 disasarkan kepada kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

 

Fasa 2 pula bermula April hingga Ogos melibatkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas,  golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

 

Fasa 3 akan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

 

Dalam pada itu, menurut Khairy, dos tambahan itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak esok.

 

Sementara Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menerimanya pada Khamis (25 Februari). - DagangNews.com